Macam timun biasa tapi saiznya kecil. Timun mini ini memang rangup, manis dan sedap dimakan mentah.
Bagi peminat ulam yang suka bercucuk tanam, timun mini ini antara yang cuba ditanam sekitar rumah. Bagi yang nak cuba tanam boleh cuba mengikut panduan Umi Watie.
Panduan tanam timun mini
Timun mini (Cucumis satives) merupakan sejenis timun kecil yang semakin popular ditanam terutama di beberapa Negeri Pantai Timur seperti Pahang, Kelantan dan juga Terengganu semenjak sekian lama.
Bagaimana pun timun mini amat sesuai dimakan segar atau dimakan sebagai ulam dengan sambal belacan, budu dan dimakan terus begitu sahaja. Timun ini sama dengan timun biasa, daripada famili Cucurbitaceae yang ditanam dalam masa singkat sahaja sekitar 2 bulan dah boleh kutip hasil.
Alhamdulillah hasil timun mini dari 3 pokok. Buah yang rangup dan manis sesuai untuk dibuat ulam. Cicah budu atau sambal belacan memang syok habis.
2. Ini pula benih yang digunakan. Boleh dibeli dikedai pertanian, pasar raya atau Shoppe.
Ads
3. Pokok timun ini ditanam dalam bekas polisterin. Satu polisterin tanam 3 pokok. Saya gunakan iron mesh yang dibeli di kedai hardware sebagai pancang. Bekas polisterin perlu ditebuk dibahagian bawah.
4. Anak pokok timun mini di awal pertumbuhan. Anak timun, pokok timun sangat sukakan cahaya matahari. Sekurang-kurangnya 4 hingga 6 jam matahari penuh. Siraman air sebanyak 2 kali sehari.
5. Baja yang digunakan untuk pokok timun ini adalah tinja ayam, cuka kayu dan air rendaman kulit bawang. Kulit bawang sangat bagus untuk menguatkan akar pokok. Seawal dua minggu dah boleh siram dengan air rendaman kulit bawang pada anak pokok supaya akar kuat dan sihat.
Ads
6. Timun mini hanya berukuran 6 – 8 cm berwarna hijau muda dengan isi yang manis.
7. Nampak tak ada dua timun di situ. Kanan timun yang berjaya didebungakan dan menjadi putik buah.
Sebelah kiri pula adalah timun yang kecundang. Selalunya saya buang timun yang tak menjadi supaya pokok dapat fokus pada buah timun yang sihat dan kuat.
Ads
8. Ini adalah bunga jantan. Kebiasaannya pada awal pertumbuhan banyak bunga jantan yang keluar dulu. Jadi bila bunga betina keluar maknanya pokok telah bersedia untuk berbuah. Oleh itu, disyorkan tanam lebih dari sepokok supaya dapat memaksimakan pengeluaran bunga
9. Timun memang berduri. Bila duri dah tak berapa tajam maksud dah boleh dituai.
Lobak merah antara sayur yang selalu ada di rumah. Jadi elok juga kalau suka bercucuk tanam, kita cuba tanam lobak merah ini.
Tak perlu batas atau tanah yang luas pun untuk cuba tanam. Boleh guna plastik beras saja.
Cara menanam boleh ikut langkah ini.
Bahan-bahan yang diperlukan
-Beg bekas plastik beras saiz 10kg
-2 bahagian tanah gambut atau tanah hitam
-1 bahagian baja kompos, organan, tinja binatang yang dah reput.
-1 bahagian pasir sungai
-Benih lobak merah (anggaran 10 – 15 biji)
-Pisau untuk menebuk
-Spray atau air untuk menyiram
Langkah menanam dalam plastik/polibeg beras
1. Terbalikkan plastik beras 10kg dan tebuk/buat lubang pada plastik beras 10kg itu dengan pisau jangan terlalu besar dan jangan pula terlalu kecil supaya air mudah mengalir keluar. Hujung plastik beras 10kg tersebut dilipat 2 hingga 3 kali, jangan lipat lebih nanti polibag beras anda terlalu pendek.
2. Campurkan 2 bahagian tanah gambut,1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir sungai ke dalam satu bekas dan gaul merata.
3. Setelah itu masukkan campuran medium tanaman itu ke dalam plastik beras yang telah ditebuk tadi. Pastikan tinggi tanah harus melebihi satu kaki. Ini kerana lobak memerlukan tanah yang dalam untuk berisi. Takut nanti isi lobak terbantut/ketot sekiranya tanah tidak dalam.
4. Gaulkan benih lobak dengan tanah dan tabur di atas tanah plastik beras tadi. Benih lobak digaul bersama dengan tanah untuk menjarakkan benih lobak di antara satu sama lain. Taburkan sedikit tanah di atas benih tersebut, jangan terlalu tebal. Ini bertujuan agar benih lobak tidak diganggu oleh semut dan siput.
5. Spray atau siram dengan air secukupnya dan letakkan di tempat terkena pancaran matahari tetapi tidak melebihi 3 jam. Lobak merah memerlukan haba atau sinaran matahari sederhana untuk bercambah namun terik matahari yang melampau akan mematikan cambahan benih lobak.
Benih lobak akan bercambah selepas 1 minggu hingga 3 minggu mengikut suhu di tempat anda.
Tip penjagaan
Terdapat beberapa tips yang harus diambil kira semasa menanam benih lobak hingga penjagaan dan penuaian;
1. Jangan letakkan fertilizer atau baja subur terlalu banyak ke dalam polibag beras kerana ia akan hanya merimbunkan pokoknya tetapi tidak akan berisi, isinya ketot dan bercabang.
2. Jangan letakkan plastik beras yang disemai benih lobak pada sinaran matahari terik yang melampau kerana ia akan mengeringkan tanah pada polibag beras dan benih tidak akan bercambah.
3. Spray beras plastik beras berisi benih lobak dengan air agar lembab dan tidak kering.
4. Sekiranya meletakkan di tempat terkena matahari pastikan polibag beras tidak terkena hujan lebat kerana hujan lebat akan mengeluarkan benih lobak dari polibag dan juga mampu memusnahkan percambahan benih.
5. Cabut anak pokok lobak sekiranya terlalu rapat dan benih pokok lobak yang dicabut bolehlah di tanam di tempat lain.
6. Lazimnya lobak merah yang telah matang dapat dituai selepas 8 minggu disemai.
Harga emas dah turun, dah bolehlah kalau nak beli apa koleksi barang kemas yang berhajat di hati.
Tapi alang-alang dah turun elok juga beli gold bar untuk pelaburan. Jadi mana satu nak beli, barang kemas atau gold bar? Mungkin ramai yang dalam dilema ini juga kan.
Bagi membantu anda buat pilihan boleh baca perkongsian daripada Akhtar Syamir ini.
Gold Bar atau Barang Kemas? Yang mana saya patut beli?
Ini soalan yang sering saya dapat. Selalunya soalan begini saya akan balas dengan soalan pula.
Soalan pertama, nak beli emas untuk apa?
Jika untuk simpanan, kedua-duanya bagus. Beli emas tak pernah salah. Yang salah ialah ada duit tapi tak beli emas.
Jika untuk pelaburan, kedua-duanya juga bagus tetapi di dalam jangka masa yang panjang. Tidak semestinya 1 tahun. Kadang-kala 2 atau 3 tahun baru ada perbezaan.
Sebagai contoh sekarang apabila harga emas kembali turun. Ini bermakna, jika anda beli emas pada beberapa bulan yang lalu, anda masih belum untuk dari segi nilai duit.
Jika untuk perhiasan, orang yang senget sahaja akan pakai gold bar letak kat jari atau cuping telinga. Kalau nak buat loket mungkin tiada masalah, tapi macam takde erti. Jadi, untuk perhiasan terutamanya wanita, belilah barang kemas.
Soalan kedua, adakah anda lelaki atau wanita?
Jika anda seorang lelaki, satu soalan susulan saya perlu tanya. Adakah anda ada isteri atau tiada? Jika anda seorang suami, saya nasihatkan anda beli barang kemas. Bagi sahaja isteri pakai. Kenapa tidak beli gold bar?
Kerana barang kemas boleh beri apa yang gold bar beri, tetapi gold bar tidak boleh beri apa yang barang kemas boleh beri pada isteri iaitu kegembiraan, rasa dihargai, rasa cantik, rasa yakin dan segala rasa yang membuatkan senyuman dia meleret.
Ini bagi saya satu nilai bonus yang anda dapat apabila anda membeli barang kemas. Selain dapat menyimpan, anda juga dapat tengok pelaburan anda tergantung-gantung di sebelah sewaktu keluar atau di dalam rumah.
Jika anda beli gold bar sahaja, bagi saya anda sangat rugi kerana anda terlepas peluang percuma untuk menggembirakan isteri. Gold bar akan disimpan di dalam album dan diletakkan di suatu sudut. Mungkin sebulan sekali anda belek dan rasa puas hati kerana berjaya ada simpanan emas.
Tetapi apabila membeli barang kemas, kesannya setiap masa, setiap hari dan setiap ketika. Bayangkan masa isteri hulur nasi pun anda nampak pelaburan dan simpanan anda. Berkilau-kilau nasik lauk singgang ikan dengan budu anda. Hebat kan?
Takkan nak beli barang kemas je? Berapa banyak nak beli, jari ada 5 je, leher ada 1, pergelangan tangan ada 2, cuping telinga ada 2, pergelangan kaki ada 2 je. Kalau semua dah penuh, nak pakai kat mana?
Tak perlu risau bab tu, pandailah si isteri sesuaikan nak pakai yang mana, di mana dan masa bila. Tak salah pun ada pelbagai jenis dan rekaan. Belikan je kotak simpan barang kemas dan tengok simpanan anda semakin lama semakin memenuhi kotak.
Namun, ada para isteri yang “saya tak suka pakai emas”.Manusia kan diciptakan berbeza-beza? Tak salah pun kalau tak suka pakai emas. Kalau di kategori ini, selalunya orang sebegini tidak suka rekaan yang besar atau terlalu terperinci.
Jadi, nasihat saya beli barang kemas yang padu. Selalunya rekaan yang padu ini sangat ringkas tetapi berat. Contohnya rantai Gajah atau Dunhill yang padu. Beli sahaja satu yang 50 gram ke atas. Tak perlu dah nak beli yang cincin 20 bentuk untuk sampai ke 50 gram.
Ada juga yang gatal-gatal bila pakai barang kemas atau risau nak pakai emas. Ini ada dua pilihan. Sama ada beli juga barang kemas dan simpan, hanya pakai sekali sekala atau beli sahaja gold bar. Selesai masalah.
Mengenai soalan tentang jantina tadi. Jika anda seorang wanita pula, ada juga satu soalan susulan. Minat pakai barang kemas atau tidak? Jika ya, belilah barang kemas semampu yang boleh. Jika tidak, belilah gold bar dan simpan. Nak simpan dua-dua pun tiada masalah.
Soalan seterusnya, adakah anda seorang isteri. Jika ya, belilah barang kemas sebanyak yang boleh. Pakailah supaya anda sentiasa cantik, menarik dan gembira. Barang kemas juga boleh digunakan apabila keadaan memaksa.
Sama ada di masa yang memerlukan untuk membeli barang keperluan atau untuk membeli benda lain yang lebih penting. Ingatlah, emas sangat berguna dan sangat mudah dicairkan tak kira barang kemas atau gold bar.
Kemudian kita masuk pula bab Zakat Emas
Zakat Emas wajib dibayar apabila sudah sampai kadar uruf yang ditetapkan mengikut negeri. Ada dua kategori iaitu emas perhiasan (yang dipakai) dan emas bukan perhiasan (yang disimpan atau tidak dipakai).
Kadar uruf emas bukan perhiasan untuk seluruh negeri dalam Malaysia ialah 85 gram. Gold bar secara automatiknya masuk di dalam kategori emas bukan perhiasan. Jadi, jika anda ada gold bar seberat 100g, kali sahaja dengan harga emas semasa dan darab 2.5%. Dapatlah amaun zakat emas bukan perhiasan yang anda wajib bayar.
Untuk kadar uruf emas perhiasan pula berbeza mengikut negeri. Jika anda tanya mengapa, ini ada kena mengena dengan maksud uruf itu sendiri iaitu “adat kebiasaan”. Mungkin ada negeri-negeri yang sangat sinonim dengan emas, jadi kadar urufnya lebih tinggi berbanding negeri yang lain.
Untuk negeri Selangor contohnya, kadar uruf emas perhiasan ialah 800 gram. Jadi, apa yang lebih dari 800 gram itulah yang wajib dibayar zakatnya. Sebagai contoh emas perhiasan anda ada 900 gram, jadi 900 – 800 akan jadi 100 gram. Kali sahaja dengan harga emas semasa dan darab dengan 2.5%. Dapatlah nilai zakat emas perhiasan yang wajib dibayar.
Mudah bukan? Di sini saya senaraikan kadar uruf mengikut negeri. Ada kebarangkalian kadar ini ada pindaan, sila dapatkan kepastikan di pusat zakat negeri anda.
Selangor, Kuala Lumpur = 800g
Johor, Terengganu = 850g
Perak, Pahang = 500g
Negeri Semilan = 200g
Melaka = 180g
Kedah = 170g
Pulau Pinang = 165g
Sabah = 152g
Sarawak = 90g
Perlis = 85g
Kelantan = Tiada uruf
Kemudian masuk bahagian kepelbagaian. Dari segi mudah untuk menyimpan dan kepelbagaian pemakaian. Jika untuk perhiasan memang barang kemas paling mudah dipelbagaikan. Untuk kepelbagaian cara menyimpan, kedua-duanya mudah.
Untuk gold bar, boleh sahaja beli yang 1 gram. Harganya pun ikut harga semasa. Untuk barang kemas, ada sahaja cincin, subang atau charm yang beratnya kurang dari 1 gram.
Ada juga skim simpanan emas dari bank ternama yang boleh tambah ikut kemampuan dan anda tak perlu pegang emas pun. Ini pun boleh beli bawah 1 gram.
Jadi, yang mana satu patut beli? Tepuk dada tanya selera. Kedua-duanya tak salah jika anda mampu. Namun, saya secara peribadi lebih berminat untuk membeli barang kemas berbanding gold bar buat masa ini kerana ia memberi kebahagiaan dan kegembiraan buat isteri saya di samping dapat buat simpanan.
Yang penting, beli dan simpan emas. Bagus untuk simpanan, baik untuk pelaburan dan salah satu medium yang menggembirakan. Seperti yang saya kata sebelum ini. Beli emas tak salah, yang salah adalah apabila ada duit tapi tak beli emas.
Kita memang selalu guna santan dalam masakan, baik yang segar dalam kotak atau jenis serbuk.
Tapi untuk pengetahuan, setiap jenis santan ini ada cara penggunaan yang berbeza. Perkongsian daripada Ummi Syuhada boleh jadi membantu kita dalam penyediaan masakan jika menggunakan jenis-jenis santan ini.
Tip dan penggunaan santan segar, kotak dan serbuk
Antara sebab kenapa rumah saya banyak jenis santan. Saya gunakan semua jenis dengan tujuan yang berbeza.
Santan segar
1. Santan fresh lepas beli terus masuk dalam chiller atau freezer. Kalau kuantiti yang banyak dalam 1 pek,(contoh 1kg) ada juga kemungkinan basi kalau lama dalam chiller sebab bahagian tengah bungkusan lambat sejuk, yang sejuk dulu bahagian keliling plastik.
Kena bajet waktu penggunaan. Dan ambil kira juga berapa lama santan dah berada pada suhu luar. Jadi sebaiknya beli barang lain dulu sebelum santan.
2. Santan fresh yang dah beku, kalau nak guna untuk rendang & nasi lemak, terus masuk masuk dalam periuk tak perlu tunggu cair semula.
3. Santan fresh yang beku kalau nak buat masakan berkuah, kena rendam dalam bekas berisi air dulu, dah cair baru guna. Kalau tak kuah jadi pecah minyak. Cara lain: blend santan beku dgn air suam.
4. Kalau rajin buat santan sendiri. Beli kelapa parut putih, blend, tapis dan bekukan dalam bekas kecik. Kalau kelapa parut yang tak putih semua, baki mendapan akan menyebabkan santan keruh sikit.
Tapi bukan masalah besar untuk semua menu kecuali ketupat. Bila masak pulut dengan santan, jangn tuang sampai habis santan yng keruh bahagian bawah, nanti rupa ketupat jadi lebih gelap & berbintik hitam pada pulut.
5. Santan segar yang beku nak cek cair ke tak? Tengok bahagian mendapan. Kalau bahagian ais banyak, santan tu cair bila larut. Kalau nak santan yg pekat, bahagian ais beku lalukan bawah air paip, tinggalkan yang pati saja.
6. Santan fresh kalau nak uji bertepung atau tak, cedok sikit letak dalam kuali, kalau cair jadi minyak tiada tepung. Kalau jadi lempeng, bakinya tambah garam terus melempeng sampai habis.
Santan kotak
1. Santan Kara pekat, sesuai masakan berkuah sebab tekstur kental dan susah pecah minyak. Beginner yang belum mahir masakan berkuah santan sesuai guna santan ini sebab tiada masalah santan pecah minyak & berketul. Jenapa Ayam brand dan M&S cair sikit, kena lebihkan kuantiti santan berbanding kara. Rasa ketiga-tiganya sedap.
2. Untuk rendang, santan kotak Kara susah pecah minyak sebab pekat. Jadi, kena lebihkan air atau tumis dulu. Kalau guna daging yg berlemak tak perlu tumis sebab lemak akan keluar minyak.
3. Kalau nak guna santan kotak jenis Kara untuk pulut bersantan, kena cairkan dulu dgn air panas. Santan kotak yang ini susah sebati masa nak gaul dengan pulut & bergumpal. Ayam brand dan M&S pula boleh terus gaul & senang larut sebab lebih cair.
Santan Serbuk
1. Santan serbuk sedap buat puding, agar-agar bersantan, kek, nasi lemak. Rasanya agak creamy dan lebih aroma seperti kelapa yang disangai. Yang ada perasa pandan sangat sedap untuk nasi lemak.
2. Santan serbuk adalah penyelamat masakan yang dah tercair. Tabur terus dalam kuah tapi api kena kecik, tabur setempat jangan merata nanti susah nak kacau bagi larut. Kalau tak yakin, cedok sikit kuah dalam bekas, masuk serbuk dan kacau sampai larut dulu baru tuang balik. Cucur jagung atau cucur durian yang dah tercair bancuhan, tabur terus serbuk.
3. Santan serbuk lebih murah. Lepas guna tak abis sepeket, baki boleh simpan lama. Gulung elok ikat getah atau kepit klip simpan kat chiller.
Ini sekadar perkongsian saya, bukan bertujuan nak mengajar otai-otai, chef dan tukang masak yang mahir ye. Ia sekadar berkongsi pengalaman dari dapur sendiri saja, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian.
Cara wangikan rumah tanpa beli pewangi mahal, guna penyegar mahal. Kalau suka kediaman sentiasa berbau harum semula jadi dan segar cara ini boleh sangat...