Hari ini ramai isteri yang mengeluh penat dan stres dek kerana tugas yang tak menang tangan. Mereka ini terutama yang bergelar ibu bukan saja mengurus rumah tangga, malah turut bekerja mencari rezeki.
Antara cara kebiasaan wanita meredakan kepenatan ini dengan berehat, bercuti dan juga ke spa untuk rawatan tubuh. Hakikatnya dalam Islam sendiri telah tersedia penawar kepenatan ini melalui amalan Zikir atau Tasbih Fatimah yang diajarkan sendiri oleh Rasululullah s.a.w kepada puterinya Saidatina Fatimah r.a.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, satu hari puteri Rasulullah s.a.w, Saidatina Fatimah r.a mengadu kepada suaminya, Saidina Ali bin Abu Talib r.a tentang tangannya berasa sakit dan keletihan kerana terlalu banyak kerja rumah yang perlu dilakukannya.
Saidatina Fatimah kemudian datang menemui ayahandanya baginda Rasulullah s.a.w untuk meminta seorang pembantu. Akan tetapi dia tidak berjaya menemui Rasulullah s.a.w dan hanya bertemu dengan Saidatina Aisyah.
Ads
Kemudian Saidatina Fatimah meninggalkan permintaannya kepada Saidatina Aisyah untuk disampaikan kepada Rasulullah. Apabila Rasulullah tiba di rumah, Saidatina Aisyah pun memberitahu Baginda tentang permintaan puterinya.
Lalu Baginda telah pergi menemui puteri serta menantunya yang ketika itu telah berbaring di tempat tidur. Keduanya mahu berganjak bangun ingin menghampiri baginda akan tetapi Rasulullah meminta mereka tetap di tempat perbaringan.
Lalu baginda bersabda; “Mahukah kamu berdua aku ajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kamu berdua minta? Ketika kalian berbaring hendak tidur, maka bacalah takbir (Allahu Akbar) 34 kali, tasbih (Subhanallah) 33 kali dan tahmid (Alhamdulillah) 33 kali. Sesungguhnya yang demikian itu lebih baik bagi kalian daripada seorang pembantu.” (HR. Muslim, no: 4906)
Maka disaran kepada ibu-ibu yang berasa penat setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan Zikir/Tasbih Fatimah ini setiap malam sebelum melelapkan mata.
Ads
ZIKIR/ TASBIH FATIMAH
Allahu Akbar – 34 kali
Subhanallah – 33 kali
Ads
Alhamdulillah – 33 kali
Dalam pada itu sentiasalah didiklah hati untuk ikhlas melakukan semua tanggungjawab agar tidak merasakan ia sebagai bebanan yang memenatkan.
Hilang daripada radar dunia lakonan selama tiga tahun bukanlah bermakna pelakon, Anita Baharom hanya duduk di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti bermanfaat. Mengakui dia aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, Anita menegaskan dia ingin membantu dalam usaha berdakwah untuk orang ramai.
“Sejak berhijab pada 2013, saya ada berlakon lagi. Tapi selepas itu saya stop sejak lahir anak kedua. Saya nak fokus pada anak-anak dan rumahtangga. Dalam masa sama ada buat bisnes kecil-kecilan. Tapi bukan itu saja yang saya buat. Saya aktif dengan aktiviti kemasyarakatan bersama Yayasan Amal Malaysia.”
Menurut Anita, dia pernah mengikuti Misi Sukarelawan Bantuan Ziarah Dan Mahabah ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Antara yang paling memberi kesan adalah pengalaman pada awal tahun di Pulau Banggi, Sabah.
“Ketika itu saya dimaklumkan ada kematian di pulau sebelah. Orang yang meninggal dunia ialah seorang warga emas wanita. Wanita itu telah meninggal dunia jam 8 malam. Saya perlu naik bot untuk ke sana. Bot yang saya naiki ni penuh dengan kuali besar dan tong gas yang digunakan untuk kami memasak nanti. Dengan buaya di tebing-tebing sungai. Perjalanan dari Pulau Banggi ke kampung yang ada kematian itu lebih kurang 30 minit perjalanan naik bot. Nama kampung itu ialah Kampung Selangan.
“Setibanya kami di pulau itu, saya nampak kediaman warga emas yang meninggal dunia itu rumahnya di atas air. Kumpulan saya sampai di sana jam 9 pagi. Maknanya sudah lebih 12 jam wanita itu meninggal dunia. Saya memang orang yang penakut sikit. Tapi dalam grup yang pergi menguruskan jenazah itu, sayalah yang paling tua. Yang lain semua lebih muda daripada saya.”
Nak dijadikan cerita, inilah pengalaman pertama Anita memandikan jenazah. Dia memang pernah mengikuti kursus pengurusan jenazah namun secara teori. Kini apabila perlu melakukan secara praktikal, pada jenazah yang sebenar pula, memang Anita akui, dia gementar.
“Macam-macam yang saya fikirkan. Terfikir macam mana kalau tiba-tiba matanya terjegil ke, apa ke. Memang seram. Namun saya perlu buat untuk meyakinkan masyarakat di sana bahawa kunjungan kami ke sana ialah untuk membantu mereka mengamalkan ajaran Islam dengan lebih baik.”
Apabila perlu menguruskan jenazah buat kali pertama, Anita akui perlu yakinkan diri. Ingat kembali apa yang telah dipelajari termasuk merujuk buku mengenai pengurusan jenazah. Anita memanggil ahli keluarga terdekat si mati untuk sama-sama berada dalam ruang untuk memandikan jenazah.
“Setelah selesai memandikan dan mengapankan jenazah, si mati perlu dibawa keluar dari rumah untuk dikebumikan. Lokasi pengebumian pula di pulau sebelah. Jadi jenazah wanita ini perlu dibawa menaiki bot. Saya kagum dengan masyarakat di sini. Bayangkanlah ketika itu cuaca sudah semakin gelap. Hanya dengan sedikit cahaya lampu yang dipakai di kepala, perjalanan membawa jenazah ke sana dipermudahkan Allah.”
Dari pulau tempat mengebumikan jenazah, kumpulan Anita yang menguruskan jenazah tadi perlu kembali semula ke Kampung Selangan. Namun disebabkan hari sudah gelap, orang yang mengetuai misi ini mengarahkan orang yang menguruskan kubur juga balik sekali dengan bot yang sama.
“Saya mulanya terkejut juga dengan arahan itu. Bila dihitung semua penumpang adalah 40 orang. Dengan muatan berat tong gas dan kuali, saya gerun juga sebenarnya. Paling saya ingat semua penumpang senyap seribu bahasa. Orang di depan saya, saya dengar dia baca ayat-ayat suci. Masa tu memang terfikir mati itu begitu dekat dengan kita. Kawasan di situ dahlah ada buaya. Macam-macam bermain di fikiran. Masa pergi 30 minit, masa balik perjalanan tu ambil masa sejam sebab bot berat dengan muatan. Bila sampai je di lokasi yang dituju, semua penumpang mengucapkan syukur tak henti-henti.”
Anita mulai menyertai misi kemanusiaan bersama Yayasan Amal Malaysia sejak 2016. Ditanya kenapa sertai misi seperti ini, menurut Anita, dia ingin berbakti dan bantu orang lain yang ingin berbakti.
“Mereka yang buat kerja amal ni ramai juga yang tua-tua. Dan mereka ini tak pernah mengeluh walau sedikit pun. Pernah saya naik trak nak ke satu lokasi yang jauh di Sarawak. Kaki saya dah mula kebas-kebas dah. Konon nak luruskan kaki. Tapi saya pandang kiri kanan mereka ni umur dah 60, 70 tapi duduk tegap je. Takde pun kebas ke, sakit kaki ke. Saya malu. Jadi, kita yang muda-muda ni apa sumbangan kita pada masyarakat?
Anita berterima kasih kerana suaminya reda dengan pemergiannya mengikuti misi kerja amal ini. Tanpa reda suami, pasti Anita tak berpeluang untuk berbuat bakti seperti ini.
“Kalau ada yang kata saya buat kerja amal sebab nak glamour, itu sangat salah. Saya tak pernah pun minta mereka letak poster ada gambar saya. Taka da. Saya pergi bukan atas jemputan tapi atas inisiatif sendiri saya nak pergi. Niat saya ikhlas membantu mereka yang memerlukan.
“Selain itu, sebelum pergi buat kerja amal, kena persediaan diri yang tinggi. Ada tempat yang tiada air, tiada elektrik, kena bangun tidur jam 4.30 pagi. Jadi kalau bersedia dengan itu semua, barulah boleh sertai sebagai sukarelawan. Hanya Allah yang membalas segala sumbangan kita ini.” kata Anita menutup bicara.
Kemanisan dalam kehidupan.. . Ada orang ingat saya pergi holiday… Sebenarnya bukan…. Saya sedang mengikuti MISI SUKARELAWAN BANTUAN ZIARAH DAN MAHABBAH bersama YAYASAN AMAL MALAYSIA @amalmalaysia . Kami membantu masyarakat di pedalaman Sabah atau Sarawak… Tapi sekarang ni di Sabah… Yg masih daif kehidupannya… Membantu menjana ekonomi kehidupan mereka.. Membantu mereka mendapatkan pendidikan pra sekolah / tadika.. Tidak kira bangsa dan agama… Yg paling penting… Memberi mereka senyuman kegembiraan dengan kehadiran kita… Ini dah 4 kali saya join…. JOM JOIN JADI SUKARELAWAN..
VK jumpa Anita ketika majlis Media Preview – Tayangan 13 Khurafat (Episod Minyak Dagu & Buluh Perindu). Seronok berbual dengan Anita, mak 3 anak ni. Semoga come back Anita selepas tiga tahun bersara berlakon ni akan menambah seri dalam dunia seni. Anita kata, ini semua rezeki anak dan dia pun dah rindu dengan dunia lakonan. Anita bakal muncul dalam episod Gerun. Cerita 13 Khurafat ini akan ditayangkan mulai 17 Oktober 2018, jam 11 malam, Astro Prima dalam slot Meremang.
Walau tahu kewajipan membayar zakat tapi sering kali ia tertunda kerana alasan sibuk, tak sempat ke kaunter cawangan zakat untuk membuat bayaran.
Sudahnya dari sehari jadi setahun hingga akhirnya langsung tidak dilakukan sedangkan sudah wajib membayarnya.
Faham akan masalah ini, Zakat Selangor mengambil inisiatif memudahkan orang ramai menunaikan zakat mereka sebelum berakhir tahun 2018.
Untuk sepanjang bulan Disember ini, semua 27 cawangan Zakat Selangor dibuka tujuh hari seminggu termasuk pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum.
Waktu operasi seluruh cawangan bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja. Pada hari Sabtu dan Ahad serta cuti umum, cawangan Zakat Selangor dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang.
Waktu operasi turut dilanjutkan sehingga jam 8 malam bermula 28 hingga 31 Disember.
Selain taksiran zakat harta, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan runding cara zakat, bayaran zakat serta melaksanakan urusan permohonan agihan zakat.
Cawangan Zakat Selangor turut menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat menerusi kad kredit Islamik dan kad debit.
Lebih menarik semua pengeluar zakat melalui 27 Cawangan Zakat Selangor ini berpeluang memenangi hadiah istimewa melalui e-cabutan iaitu sebuah tablet, sebuah telefon pintar dan hadiah saguhati iaitu kad Touch & Go. Peluang ini hanya dibuka di bulan Disember ini sahaja.
Ambillah peluang menunaikan zakat sebelum 31 Disember untuk layak rebat cukai pendapatan.
Nak puasa enam tapi tak ganti lagi puasa. Ada yang kata boleh saja gabungkan puasa enam dengan puasa ganti. Betul ke boleh? Perkara ini menjadi persoalan kaum wanita hampir setiap tahun. Supaya tiada kekeliruan lagi kita baca penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri tentang perkara ini.
Soalan:
Assalamualaikum , Saya ingin bertanya , bolehkah saya berniat puasa qada (ganti) dan puasa enam dibulan syawal secara serentak (dua dalam satu (puasa ganti dan puasa enam). Terima kasih
Jawapan:
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih kepada saudara yang bertanya.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Taala, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ.
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Surah al-Baqarah:183)
Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadhakannya serta merta selepas tamatnya Ramadhan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qadha.
Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadhan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qadha kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).
Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat syawwal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadhan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)
Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :
Sekiranya ia adalah termasuk dalam wasilah atau perkara yang bercampur maka hukumnya sah. Terhasil apa yang dihajatinya daripada kedua ibadat tersebut. Misalnya, jika seseorang itu mandi junub pada Hari Jumaat untuk melakukan Jumaat dan juga mengangkat junub. Sesungguhnya junubnya terangkat dan pahala mandi jumaat tersebut pun terhasil.
Walaupun salah satu daripada dua ibadat tersebut tidak diniatkan manakala yang lain pula diniatkan dengan zatnya maka sah himpunan atau gabungan tersebut dan tidak mencederakan ibadat tersebut misalnya solat tahiyyah masjid dilakukan berserta solat fardhu atau solat sunat yang lain.
Adapun menghimpunkan atau gabung di antara dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qadha atau kaffarah, atau nazar berserta puasa sunat seperti puasa sunat 6 hari pada Bulan Syawal maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad kerana setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat lain yang diniatkan dengan zatnya dan tidak pula berada di bawah ibadah yang lain.
Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qadha Bulan Ramadhan dan niat puasa 6 pada bulan syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?
Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadhan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya.
Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja. Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadhan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadhan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadhan dan qadha di bulan Syawal, adakah berhasil qadha puasa Ramadhan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadhannya walaupun dia gabung niat puasa qadha Ramadhannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)
Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)
Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qadha puasa bulan Ramadhan bersama puasa sunat enam Syawal dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut. Hal ini kerana diqiyaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat 2 rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu) maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.
Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullahu Taala berkata: “Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lainnya, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut.
Hal ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim : “Apabila masuk salah seorang dari kamu ke dalam masjid hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain. (Rujuk Kitab Hasyiah al-Bujairimi 1/280)
Begitu juga nas yang hampir serupa dikatakan Syeikh Islam Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala: Terhasilnya solat sunat dua rakaat atau lebih (yang dimaksudkan dengan adalah hasilnya pahala solat walaupun bersama dengannya solat fardhu atau solat sunat yang lain) sama ada diniatkan sekali ataupun tidak.
Ia berdasarkan hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumahullahu Taala “ Apabila masuk seseorang daripada kamu ke dalam masjid maka janganlah ia duduk sehingga ia solat dua rakaat”. ” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain (Rujuk Kitab Fathul Wahab Syarah Manhajul Tullab 1/67)
Imam ar-Ramli Rahimahullahu Taala telah berkata: “Dan sekiranya berpuasa pada bulan syawal, puasa qadha, nazar atau selain daripada keduanya atau seumpama dengannya, seperti berpuasa pada hari A^syura maka telah dapat pahala puasa sunat itu baginya, seperti yang telah difatwakan oleh bapanya (bapa kepada Imam ar-Ramli), begitu juga oleh al-Barizi, al-Asfahuni, A—Nasyizi, al-Faqih Ali Soleh al-Hadrami dan selainnya tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna ke atas yang dituntut.” Begitulah sama hukumnya puasa Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal. (Rujuk kitab Nihayah al-Muhtaaj, 3/208-209)
Imam as-Suyuti Rahimahullahu Taala berkata : “Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa) maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyah Masjid. ” (Rujuk kitab Ashbah Wan Nazoir, hlm. 61)
Dalam Syarah al-Tanbih karangan al-Hafiz al-Suyuti Rahimahullahu Taala, daripada fatawa al-Baarizi Rahimahullahu Taala, beliau mengatakan : Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah terhasih keduanya (sah keduanya), begitu juga jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa). Tetapi al-Isnawi menyebut perkara ini tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Disisinya apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq”
Walupun begitu, perlulah diambil perhatian, maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna
Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdal seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal. Namun begitu, menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif.
Namun begitu, menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.
Cara wangikan rumah tanpa beli pewangi mahal, guna penyegar mahal. Kalau suka kediaman sentiasa berbau harum semula jadi dan segar cara ini boleh sangat...