
Krisis air yang di jangka akan berlaku pada tahun 2035 bukan perkara kecil yang boleh dipandang ringan. Bila paip kering beberapa jam pun sudah kelam-kabut satu rumah, apatah lagi kalau negara benar-benar berdepan krisis air serius pada masa akan datang.
Itulah risiko yang sedang diberi perhatian apabila kadar penggunaan air domestik rakyat Malaysia masih tinggi, iaitu melebihi 200 liter per kapita sehari. Angka ini dianggarkan sekitar 219 hingga 225 liter sehari, jauh lebih tinggi berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 165 liter sehari.

Menurut Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Malaysia berdepan risiko krisis air pada tahun 2035 sekiranya kadar penggunaan semasa tidak dikawal.
Walaupun sasaran penggunaan ditetapkan antara 160 hingga 180 liter sehari, tahap penggunaan rakyat Malaysia masih tinggi. Antara puncanya ialah tabiat pengguna sendiri serta persepsi bahawa sumber air negara sentiasa mencukupi.
Krisis Air 2035 Jadi Amaran Kepada Rakyat Malaysia
Di peringkat serantau, penggunaan domestik Malaysia juga lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Singapura yang mencatatkan kira-kira 140 liter per kapita sehari.
Keadaan ini menunjukkan masih ramai yang menggunakan air tanpa rasa perlu berjimat. Mungkin kerana air mudah didapati, bil masih dianggap mampu dibayar, atau kita terbiasa membuka paip tanpa memikirkan jumlah air yang mengalir setiap hari.
Sedangkan air bersih bukan sekadar datang dari paip. Ia perlu dirawat, disalurkan dan diurus melalui sistem yang melibatkan kos, tenaga serta sumber semula jadi.
Tabiat Kecil Di Rumah Boleh Jadi Punca Pembaziran
Kalau diperhatikan, banyak pembaziran air berlaku dalam rutin harian di rumah. Contohnya membiarkan paip terbuka ketika memberus gigi, mandi terlalu lama, mencuci kereta menggunakan hos tanpa kawalan, atau membasuh pakaian walaupun muatan mesin basuh masih sedikit.
Begitu juga paip bocor yang dibiarkan berhari-hari. Nampak hanya menitis, tapi jika dibiarkan, jumlah air yang terbuang boleh jadi banyak.
Galakan Guna Produk Cekap Air
Bagi membantu pengguna mengurus penggunaan air dengan lebih berhemah, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menggalakkan penggunaan produk cekap air melalui skim Water Efficient Products Labelling Scheme atau WEPLS.
Melalui skim ini, pengguna boleh memilih peralatan yang lebih menjimatkan air seperti kepala paip, pancuran mandi, tandas dan produk berkaitan air yang mempunyai label kecekapan air.
Pilihan seperti ini mungkin nampak kecil, tetapi kesannya besar untuk jangka panjang, terutama jika digunakan di banyak rumah, sekolah, pejabat dan premis perniagaan.
Kesedaran Perlu Bermula Dari Rumah
Abdul Rahman turut menekankan bahawa kesedaran awam perlu terus diperkukuh. Pendidikan juga memainkan peranan penting, terutama dalam membentuk sikap generasi muda terhadap pemeliharaan sumber air.
Anak-anak perlu dibiasakan menutup paip selepas digunakan, tidak bermain air terlalu lama dan memahami bahawa air bersih bukan sumber yang boleh dibazirkan sesuka hati.
Di Pahang, kerajaan negeri turut mempunyai 76 loji rawatan air yang mampu menghasilkan kira-kira 1,295 juta liter sehari bagi memastikan bekalan air terawat mencukupi. Namun pada masa sama, cabaran cuaca tidak menentu turut perlu diberi perhatian kerana ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Cara Mudah Elak Krisis Air 2035 Bermula Dari Rumah
Antara amalan mudah yang boleh dibuat ialah menutup paip ketika memberus gigi, menggunakan mesin basuh hanya apabila muatan penuh, membaiki paip bocor dengan segera dan menggunakan baldi ketika mencuci kereta.
Air bilasan beras atau sayur juga boleh digunakan semula untuk menyiram pokok, asalkan tidak bercampur sabun atau bahan kimia.
Kesimpulannya, risiko krisis air ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Hari ini kita mungkin masih boleh membuka paip bila-bila masa, tetapi jika penggunaan terus tinggi dan tidak dikawal, generasi akan datang mungkin berdepan kesan yang lebih besar.
Jimat air bukan bermaksud menyusahkan diri. Ia cuma soal menggunakan air dengan lebih bijak, supaya bekalan yang ada dapat bertahan lebih lama.
BACA LAGI : DIY Baiki Paip Air Yang Menitis Walau Tap Dah Tutup Rapat
Sumber : Harian Metro
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!




