
Seronok tengok hasil kunyit yang ditanam oleh Razak Adom ini. Bersusun-susun isinya, memang puas hati.
Lagi menarik, hasil kunyit yang banyak ini ditanam dalam tayar saja. Tak perlu beli bekas khas pun, cuma guna barang terpakai. Berikut adalah perkongsian beliau.
Hasil tanam kunyit dalam tayar
Tanam kunyit dalam 2 biji tayar. Setiap tayar 6-7 pokok. Alhamdulillah, inilah hasilnya…
- Tayar saiz 14. Potong bahagian tepi tayar dengan pisau dapur. Bahagian tepi tayar tiada dawai, tapi pisau mesti cukup tajam. Bila dah potong terbalikkan bahagian luar ke dalam.
2. Isi tayar dengan media, gaul baja tahi kambing, tanah bakar, pasir sekali dan masukkan dalam tayar. Kemudian bolehlah semai benih kunyit. Siram.
Artikel berkait: Bungkus Dalam Tisu Lembap Cara Cambahkan Benih Kunyit
3. Bila daun pokok kunyit menguning dan pokok mati, tanda ia sudah sedia untuk dituai. Tempoh lebih dari 6 bulan.
4. Terbalikkan tayar dan tembak air untuk memudahkan ambil isi kunyit.
Hasil tayar no 1
Hasil tayar no 2
Selamat mencuba.
Sumber: Razak Adom
Buat Lemang Guna Cawan Kertas. Bakar Dalam Oven & Kukus, Lagi Senang!

Isi Kandungan
ToggleKalau nak makan lemang dalam jumlah sikit rasanya boleh guna idea ini. Buat lemang guna cawan kertas saja.
Tak perlu cari buluh bagai. Lagi jimat. Caranya boleh ikut perkongsian dari Bunda Nadiah.
Cara masak lemang guna cawan kertas
Bahan-bahan:
1 kg pulut – rendam pulut dalam 2 jam untuk mempercepat masak lemang
2 kotak santan kara- tambah 3 kotak air, guna kotak santan yg sama
Garam secukupnya
Daun pisang
Bekas cawan kertas
Cara membuat
1. Masukkan daun pisang dalam cawan. Kalau dapat daun yg kecil tak cukup lebar susun menegak dalam cawan. Gunting bulat daun pisang dan letak di bahagian dalam bawah cawan.
2. Gaul pulut yg dah direndam dgn garam dgn sedikit santan. Kemudian masukkan dalam cawan pulut, jangan penuh beri ruang untuk letak santan.
3. Tuang santan dalam cawan berisi pulut tadi dan kacai supaya santan tu turun ke bawah.
4. Masak dalam oven selama 30 minit dengan suhu 180.Ini untuk dapatkan daun pisang tu hangit kena bakar.
5. Kemudian keluarkan dan kukus pula lemang tadi dalam pengukus selama lebih kurang 1 jam, sampai masak dan padat pulut.
Kalau tak mahu bakar dalam oven pun bole, terus kukus. Begitu juga kalau tak nak kukus boleh terus dibakar dalam oven. Ikut cita rasa.
6. Hasilnya
Sumber: Bunda Nadiah
Jangan Guna Kuali Atau Periuk Yang Dah Hitam. Bahaya, Boleh Jadi Penyebab Kanser!

Isi Kandungan
Toggle
Bagi kaum wanita mesti ada kuali kegemaran di dapur ataupun memang ada satu saja kuali. Biasanya kuali ini dah lama digunakan.
Dipanggil kuali legend. Disebabkan terbiasa dengan guna kuali ini saja rupanya ada yang dah hitam legam. Meskipun suka dengan kuali ini tapi nasihat ahli kimia Fatimah Salim ia sebaiknya tidak gunakan lagi.
Menurut beliau peralatan memasak yang sudah hitam begini adalah berbahaya. Berikut dalam penjelasan beliau.
Ramai tak kisah tapi sebenarnya bahaya!
Ramai yang mungkin tidak kisah dengan keadaan kuali atau periuk yang hitam legam. Legend katanya. Tahukah anda peralatan memasak sebegini berbahaya?
YA. Lapisan hitam ini sebenarnya terbentuk daripada mendakan bahan masakan dan minyak yang terhangus dan dibiarkan lama sebati tanpa disental atau dikikis.
Lapisan ini berpotensi menyebabkan kanser kerana ianya mengandungi bahan-bahan kimia seperti polycyclic aromatic hydrocarbons (PAHs), heterocyclic amines (HCAs) acrylamide dan furans. Bahan-bahan kimia ini akan bercampur dalam masakan kita setiap hari yang kita hidangkan kepada anak-anak.
Maka, usah berfikir panjang lagi. Segera bersihkannya bagi mengelakkan masalah kesihatan di masa hadapan. Benar, bahan-bahan kimia ini memang sentiasa ada dalam makanan yang dipanggang atau dimasak dengan suhu yang tinggi sehingga hangus, namun usahlah sengaja menambah punca.
Tip untuk membersihkan lapisan karbon
• Panaskan peralatan memasak dengan api. Tuangkan air perlahan-lahan dan biarkan air di dalam peralatan ini mendidih selama 10-15 minit. Kemudian tuangkan setengah cawan baking soda dan biarkan ianya mendidih seketika. Matikan api dan kikis perlahan permukaan ini dengan menggunakan senduk bersesuaian. Tunggu sejuk dan sental.
• Boleh juga gantikan bes lain seperti sabun cuci baju. Setelah biarkan periuk mendidih selama 10-15 minit. Matikan api, alihkan dan tuangkan sabun cuci sesetengah cawan. Rendam sekitar 1 jam atau lebih lama bergantung kepada tahap kekotoran. Apabila kelihatan mudah dikikis, buangkan air sabun rendaman dan sental.
• Jika kesan hitamnya tidak teruk, boleh saja tuangkan baking soda tanpa pemanasan dan sental. Atau gantikan bahan berbes dengan bahan berasid seperti cuka makan, air asam jawa, asam keping… Namun baunya agak kuat jika dibandingkan baking soda.
Pemanasan membantu menanggalkan kesan hangusan dengan lebih mudah kerana bertambahnya tenaga kinetik molekul-molekul dalam ikatan metalik peralatan memasak dan lapisan hangusan itu juga.
Nota
1) Dalam keadaan yang pekat, bahan-bahan kimia ini bersifat menghakis, maka boleh membantu dalam proses pembersihan. Cuma berhati-hati dengan air panas dan sifat yang boleh merengsa.
2) Peralatan yang telah berkilat tadi perlu dibentuk lapisan oksida untuk mengurangkan risiko bocoran logam. Maka, boleh lah merebus air beberapa kali sehingga lapisan kelihatan pada permukaan, sebelum digunakan seperti biasa.
Sumber:
ChM Dr Fatimah Salim
Ahli Kimia
10 Persiapan Untuk Ibu Bapa Bila Anak Masuk Darjah Satu, Selain Beli Baju, Kasut & Bayar Yuran

Ini bukan persiapan beli baju atau sediakan duit untuk bayar yuran yang selalu bermain dalam fikiran tapi aspek lain yang sebenarnya selalu ibu bapa lupa atau abaikan.
Contohnya macam ajar anak buka dan pakai tali pinggang, nampak remeh tapi kesannya besar juga. Menurut perkongsian guru tahun satu Mohd Fadli Salleh gara-gara tak pandai buka tali pinggang ramai murid yang terberak dalam seluar.
Lucu tapi inilah kenyataannya. Selain itu ada lagi sembilan persediaan lain yang menurutnya ibu bapa dengan anak masuk darjah satu tahun depan kena buat. Penting kerana kata cikgu ini, darjah satu tahun depan lebih mencabar.
Ada anak darjah 1 tahun depan? Ini persiapan kau sebagai ibu bapa
1) Pastikan anak kenal huruf
Boleh membaca dan mengeja walau sedikit. Operasi asas nombor, tambah dan tolak bawah 10 dia dah kuasai. Silibus KSSR Semakan 2017 sangat tinggi arasnya. Murid yang masuk dengan ‘zero’, pasti ketinggalan jauh ke belakang. Silap-silap akan masuk kelas pemulihan.
Bahasa Malaysia tahun 1 silibus baru ini murid dah kena pandai bina ayat berdasarkan gambar menjelang pertengahan tahun.
Matematik pula dah diperkenalkan asas bundar, asas pecahan malah pengurusan data. Ini semua topik di Tahun 4 kalau ikut silibus lama, KBSR. KSSR ni lain macam dia punya pergi.
Bayangkan kalau anak kita masuk dengan ‘zero’. Pasti tertinggal kerana cikgu tak akan tunggu anak kita seorang.
2) Bimbing anak di rumah
Ini sangat penting. Berhenti merungut kata silibus tinggi dan soalan terlampau KBAT. Anak walau ada asas membaca dan tahu operasi asas nombor pasti ketinggalan juga jika tiada bimbingan lanjut di rumah.
Silibus berat, masa singkat. Namun sebenarnya anak-anak kita boleh kuasai. Majoriti murid mampu ikut dengan baik. Kebanyakan murid yang tertinggal adalah yang tidak diberi bimbingan lanjut di rumah. Nak anak berjaya? Bantu mereka. Jangan harap ilmu di sekolah dan guru semata-mata.
3) Ajar anak kenali wang
Ajar anak guna wang. Ajar anak tunggu terima baki. Ajar anak jangan bagi wang jika murid lain minta. Ajar anak maklumkan pada cikgu kalau murid lain minta wang dari mereka.
Semua asas ini perlu diajar dari rumah lagi. Cikgu tak mampu nak ajar beratus murid cara guna wang dan cara jaga duit poket mereka.
Fakta: Ramai murid tahun 1 tidak tahu guna wang.
4) Ajar anak guna tandas awam/sekolah
Jangan buat macam di rumah. Ajar anak minta izin untuk ke tandas.
Fakta : Ada murid buka seluar dalam kelas dan berlari bogel menuju ke tandas tanpa rasa malu. Ada pula buka seluar di luar pintu tandas dan seluar basah kuyup kena air kat lantai dan kotor dipijak kawan yang lalu lalang.
5) Jangan takutkan murid dengan bagitahu mereka cikgu garang. JANGAN!
Ramai ibu bapa takutkan anak mereka dengan ayat, ” Abang jangan nakal-nakal. Nanti cikgu rotan.” Akibatnya, murid takut nak minta izin ke tandas.
Fakta : Kebanyakan murid yang kencing berak dalam seluar kerana takut untuk minta izin sebab dimomokkan oleh ibu bapa mereka bahawa cikgu garang.
6) Ajar anak berkongsi dan menjaga barang sendiri
Bekal makanan buatlah lebih. Suruh anak berkongsi dengan murid lain. Ini amalan mulia. Begitu juga pensel, pemadam dan alat tulis. Berkongsi, tapi sila pastikan mereka ambil dan simpan semula.
Fakta : Ramai murid tidak pandai jaga harta sendiri. Hasilnya, di kantin lambakan botol air dan bekal makanan yang murid tinggal. Dalam kelas, lambakan alat tulis yang jatuh tidak dikutip, buku ditinggalkan di bawah meja.
7) Jangan bagi murid pakai kasut bertali jika mereka tak pandai ikat
Ajar juga anak buka dan pasang tali pinggang. Ramai murid tahun 1 pakai tali pinggang buat kali pertama bila menjejak kaki di sekolah. Mak ayah yang pakaikan di rumah.
Fakta : Ramai murid terkencing dan terberak dalam seluar gara-gara tak pandai buka tali pinggang.
8) Ajar anak susun jadual ikut hari
Jangan bawa semua buku. Bawa buku mengikut jadual sahaja. Baru beg tak berat. Ajar ayah dia sekali susun jadual anak. Ini pun penting!
Fakta : Biasa murid bawa buku ikut jadual dan beg tak berat. Suatu hari semua buku murid itu bawa. Rupanya ibu dia ‘out station’ dan ayah tukang susun buku.
Semua buku ayah dia sumbat. Banana punya ayah. Kesian kat anak.
9) Jika ada group wasap kelas, jangan wasap tengah-tengah malam buta dan mengharap balasan segera
Cikgu bukan kedai 7-Eleven yang setiap masa tunggu nak reply mesej anda. Hormati group wasap tersebut. Jangan post status politik, jangan spam dengan nasihat, kata-kata hikmah, perkongsian cerita menarik atau apa jua. Cukuplah group itu untuk maklumat anak dan kelas.
Nak sangat post isu semasa, hadis, kata nasihat, mutiara kata, mutiara naga, kau buka group wasap lain dan add lah semua parent. Post lah semua benda sesuka hati kamu. Paling penting, jangan promote barang anda berniaga dalam group tu. Menyampah dan mengganggu tahu tak?
10) Usah lagi diratib tentang sukarnya silibus baru dan payahnya soalan KBAT
BERHENTI MERUNGUT! Sebaliknya bertindaklah. Merungut tidak mampu mengubah apa-apa. Orang lain yang bertindak anak mereka dah maju ke depan.
Kita yang sering merungut di hadapan anak tentang sukarnya silibus sehingga anak pun set dalam kepala ‘payahnya belajar’.
******
#MFS
– Cikgu Tahun Satu.
Sumber: Mohd Fadli Salleh