
Isi Kandungan
Toggle
Pada hari ini masih ramai orang yang berhati mulia namun selalunya yang buruk itu orang lebih nampak kehadirannya. Baru-baru ini viral di laman facebook kisah seorang pemandu grab yang sangat berbudi bahasa dan baik hati.
Seorang pengguna akaun facebook bernama Zamri Mohamed Orgpayrock telah memuat naik kisah pemandu grab yang membawanya balik ke rumah tanpa mengambil tambang yang sepatutnya dubayar sebanyak RM24. Tujuan dia memuat naik kisah itu ialah kerana ingin mengucapkan terima kasih kepada pemandu tersebut.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada pemandu Grab ini yang mengambil saya yang berkerusi roda di Hospital Besar Kuala Lumpur sewaktu hujan lebat & menghantar saya sehingga ke Taman Medan, Petaling Jaya tanpa menerima sebarang bayaran walau 1 sen pun daripada saya,” ucap Zamri.
Dahlah dia angkat saya…
Rasa terharu Zamri ini bertambah-tambah kerana memikirkan betapa susah payah pemandu grab ini mengangkatnya dari kerusi roda ke dalam kereta dan dari dalam kereta ke kerusi roda. Inilah yang membuatkan Zamri rasa terhutang budi dengan pemandu grab tersebut.
“Dengan bersusah payah beliau mengangkat saya masuk ke dalam dan mengeluarkan saya dari kereta sehingga berpeluh-peluh. Semoga Allah S.W.T. memudahkan perjalanan dan memurahkan rezeki beliau sekeluarga. Amin.”
Netizen mendoakan pemandu GrabCar
Ekoran kisah yang viral ini, ramai netizen mengucapkan syukur dan mendoakan supaya pemandu itu dimurahkan rezeki.
Murni jiwanya
Moga bertambah murah rezekinya
Allah balas keikhlasan hati
Terima kasih yang tidak terhingga kepada pemandu Grab ini yang mengambil saya yang berkerusi roda di Hospital Besar Kuala Lumpur sewaktu hujan lebat & menghantar saya sehingga ke Taman Medan, Petaling Jaya tanpa menerima sebarang bayaran walau 1 sen pon dari saya. Dengan bersusah payah beliau mengangkat saya masuk kedalam & mengeluarkan saya dari kereta sehingga berpeluh2… Semoga Allah S.W.T. memudahkan perjalanan & memurahkan rezeki beliau sekeluarga… Amin…
Zamri yang menghidap kanser paru-paru tahap empat menggunakan khidmat pemuda tersebut untuk perjalanan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) pulang ke rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya. Semoga pemandu GrabCar yang baik hati itu dimurahkan rezeki. Alangkah bagusnya kalau ramai insan berhati mulia sepertinya.
Pun begitu, di laman facebook, Zamri ada memuat naik kisah bahawa pemandu GrabCar itu ada menghubunginya dan memaklumkan ID yang keluar di Aplikasi Grab Zamri bukan ID sebenar kerana dia menggunakan akaun abangnya untuk menjalankan perkhidmatan tersebut.
Pokok pangkalnya sikap terpuji pemandu tersebut harus dipuji kerana bukan sahaja tidak mengambil bayaran malah dia turut membantu golongan berkerusi roda seperti Zamri dengan cara mengangkat. Itu sudah sangat baik dan harus dipuji.
VK pun nak turut serta ucap tahniah pada pemandu GrabCar yang berhati mulia ini. Tak ramai orang macam awak dik. Semoga awak murah rezeki dan terus membantu golongan yang memerlukan.
Sumber: Zamri
Kerja Rumah Bukan Tugas Isteri Saja, Lelaki Ini Tunjuk Cara Dia Latih & Fahamkan Anak-anak Untuk Bereskan Kerja Rumah

Isi Kandungan
Toggle
Zaman sekarang isteri atau kaum ibu pun kebanyakannya bekerja dan dah tentu tak sempat untuk membuat semua kerja rumah.
Sebab itu ramai suami sekarang yang tak berkira membantu isteri di rumah. Selalu saja tengok kaum bapa menyidai pakaian waktu hujung minggu atau memasak di dapur kan.
Tapi sebenarnya tugas ini bukan tugas suami isteri saja, anak-anak jua harus dilatih melakukan kerja rumah. Bukan saja untuk meringankan kerja ibu bapa tapi supaya sikap yang sama dibawa bila anak sudah berumah tangga kelak. Supaya ‘mind set’ kerja rumah kerja orang perempuan itu dah tiada lagi.
Kalau nak mengajar anak sebenarnya biarlah dari kecil dan kena ada cara. Kaedah diguna pakai Ahmad Affzan Abdullah juga menarik untuk ibu bapa lain praktik kan.
Katanya sebelum minta anak buat, fahamkan kenapa mereka perlu buat kerja rumah itu. Selebihnya jom baca perkongsiannya.
Fahamkan Anak Kenapa Perlu Tolong Buat Kerja Rumah
Satu ketika, aku tengah makan. Nampak isteri aku tunjuk artikel di telefon pintar pada anak-anak.
“Baca ni,” katanya.
Aku tengok saja. Lepas makan aku tanya dia, “Artikel apa tu?”
Dia pun tunjuk pada aku. Artikel itu dalam bahasa inggeris, ditulis oleh seorang perempuan mat saleh. Dia bercerita ketika dia sedang sibuk cuci pinggan di dapur, suaminya dan anak-anak selamba tengok TV. Puas dia panggil semua buat bodoh saja.
Akhirnya selepas lama dia bising, suami dia pun cakap pada anak-anak,
“Dah, dah. Pergi tolong mak kamu tu.”
Kemudian dia terfikir, kenapa bila cuci pinggan, kemas rumah itu, dianggap sebagai ‘tolong’ ibu dan isteri. Seolah-olah itu memang tugas ibu semata-mata, orang lain kalau buat itu sekadar nak tolong saja.
Bukankah rumah ini rumah kita bersama? Kita guna tandas bersama. Ruang tamu bersama.
Mengapa kita tidak menganggap bahawa ini kerja kita bersama juga?
Aku mengangguk-angguk sambil membaca artikel itu.
Betul, biasanya kita ini ambil mudah.
Kerja rumah kait dengan orang perempuan
Bila kerja-kerja di rumah saja, secara automatik kita kaitkan dengan tugas orang perempuan, iaitu ibu kita atau isteri kita. Kenapa mentaliti kita begitu?
Pinggan, ramai yang lepas makan hanya letak saja dalam sink. Yang lebih teruk, tinggal saja atas meja makan. Maka ibu atau isterilah yang mengutip sampah sarap ini tadi dan membawanya ke dapur
Tandas, semua guna untuk buang segala kotoran dalam badan. Bila mangkuk tandas dan lantai sudah berdaki, semuanya buat tak tahu. Masing-masing beranggapan nanti ibu atau isteri yang akan sental.
Kipas dan aircond, semua nak guna waktu kepanasan. Namun bila berhabuk, masing-masing lebih rela bersin dan terbatuk berbanding ambil inisiatif untuk buang habuk yang terkumpul. Semuanya tunggu ibu atau isteri yang buat.
Beginikah cara kita hidup bersama di dalam rumah? Di bawah satu bumbung?
Kami buat duty roster
Maka kami pun buat jadual. Duty roster. Ada tugas harian, ada tugas mingguan. Semua wajib laksanakan tanggungjawab masing-masing mengikut apa yang telah ditetapkan.
Untuk apa? Supaya masing-masing ada rasa kebertanggungjawaban. Supaya anak dan suami tahu, rumah ini tanggungjawab bersama untuk pastikan ia bersih, kemas dan sihat untuk didiami.
Bukan kerja orang perempuan saja. Bukan tugas ibu atau isteri saja. Kita semua buat sepah, kita semua kena kemas.
Bergilir-gilirlah. Masing-masing akan rasa cuci pinggan, sidai baju, cuci tandas, sapu sampah, cabut rumput dan lain-lain.
Tidak ada ruang untuk anak-anak rasa seperti tuan atau bos. Tidak ada ruang untuk suami atau isteri menyuburkan ego. Barulah kita boleh hargai setiap sudut rumah yang kita diami.
Kita nampak ruang tamu kemas, kita tersenyum dan kata pada diri, itu kita yang kemas sama-sama.
Kita nampak tandas bersih, kita juga rasa puas hati kerana kita pun terlibat dalam memastikan tandas itu harum dan tidak jijik.
Baru kita tahu apa yang ibu, isteri kita rasa
Kita akan geram bila ada ahli keluarga cuba sepahkan barang. Sebab kita tahu betapa lecehnya nak kemas balik.
Baru kita tahu apa yang ibu dan isteri kita rasa selama ini.
Rumahku syurgaku. Selalu orang sebut, namun tak ramai yang berusaha untuk menjadikan rumah itu syurga bersama-sama. Hanya mengharap ia jadi syurga secara tiba-tiba?
Semoga Allah sentiasa menaungi keluarga kita dengan rahmah dan maghfirah-Nya, dan rumah yang kita diami itu sentiasa dipenuhi dengan kasih sayang dan ketenangan.
.
.
Ahmad Affzan Abdullah.
Pelukis Kaligrafi Eksklusif
Sumber: Ahmad Affzan Abdullah
5 Beradik Bersatu Hati Jaga Ayah Sebelum Pergi Menemui Ilahi, Apa Yang Mereka Lakukan Cukup Menyentuh Hati

Isi Kandungan
Toggle
Tiada yang lebih menyedihkan buat seorang anak selain dari terpaksa menerima hakikat pemergian orang tua sendiri. Baik kehilangan ibu atau pun bapa, ia satu kesedihan yang tidak terungkap oleh kata-kata.
Namun tatkala mengenang saat kehilangan itu sebenarnya ada banyak pengajaran yang boleh disingkap oleh seorang anak.
Demikian juga apa yang dipelajari oleh Hamizah Farhana Hussein dan kakaknya Haliza Hussein di sebalik pemergian bapanya Professor Dato’ Dr. Hussein bin Haji Ahmad.
Arwah ayah tokoh akademik disegani
Arwah merupakan tokoh akademik yang banyak berjasa kepada negara dalam bidang pendidikan. Ilmunya bukan sahaja disumbangkan dalam menyusun strategi dan membentuk dasar–dasar Negara untuk membangunkan institusi pendidikan di Malaysia.
Beliau juga tidak jemu mendedikasikan sepanjang hayatnya menulis buku-buku dalam bidang pendidikan untuk manfaat guru-guru, penjawat awam, orang ramai dan generasi akan datang.
Pemergian tokoh akademik ini bukan sahaja dirasai oleh rakan-rakan seperjuangan, malah mereka yang pernah dididik oleh allahyarham, yang tidak terkira bilangannya.
Sudah tentu lebih merasainya adalah anak-anak allayarham. Kisah ini diceritakan sebagai perkongsian kepada orang ramai bagaimana lima beradik dan pasangan masing-masing telah bersatu hati menjaga si ayah sebagai balasan kasih sayang yang dicurahkan selama ini.
Menurut Hamizah atau Mieza, ayahnya berjuang di hospital hampir tiga minggu sebelum menghembuskan nafas terakhir. Dalam tempoh ini dia dan adik beradiknya telah menolak ke tepi kepentingan diri dan kerjaya demi untuk bersama dengan ayah mereka.
Tinggalkan kerja, ambil cuti sebulan
“Ayah memang seorang yang mementingkan keluarga selama hayatnya dan kami juga diajar begitu. Pada waktu itu, kami nampak prinsip yang ditekan pada kami selama ini sebenarnya cukup berharga.
“Bila ayah di hospital di hari-hari terakhir hidupnya, kami adik beradik seramai 5 orang tahu kami perlu sentiasa di sisinya. Kami bersatu hati untuk menjaga ayah.
“Kami semua tinggalkan kerja yang sebelum ini jadi keutamaan, saya sendiri mengambil cuti sebulan begitu juga dengan adik beradik yang lain.
“Malah kakak ipar yang berada jauh di Sarawak juga tidak ketinggalan. Suami saya sendiri tidak jadi ke Johor Bahru, outstation dan berada di sisi ayah. Kami bergilir-gilir menjaga ayah selama dia berada di hospital.”
Bimbing ayah solat walau sakit
“Setiap hari, anak-anak bergilir-gilir ganti menemani ayah. Kami sentiasa membacakan surah pilihan seperti Al-Mulk, Yasin, Ar-Rad, Al-Kahf dan Al-Waqiah serta zikir-zikir mudah untuk diikuti ayah.”
“Setiap kali waktu bersesuaian, kami akan solat berjemaah bersama dengan ayah. Kami bantu ayah mengambil wuduk menggunakan renjisan air, dibisikkan niat solat ditelinganya dan diimamkan oleh abang.”
“Paling sayu adalah apabila bila semua berkumpul dan solat Subuh berjemaah di pagi Aidil Adha di hospital. Selepas solat kami bertakbir bersama ayah. Suasana waktu itu penuh hiba kerana ayah sedar walaupun keadaan ayah amat lemah.”

Sempat tunaikan semua permintaannya
“Keadaan ayah yang lemah waktu itu membuatkan pertuturan ayah terhad. Kami tahu ayah ingin menyampaikan permintaan-permintaannya. Walaupun sukar, tetapi intuisi dan gerak hati antara ayah dan kami sangat kuat. Dari sebutan perkataan sebagai isyarat kami tahu kehendaknya satu-persatu.
“Antara keinginannya adalah meneruskan majlis mengagihkan daging korban untuk anak-anak saudara sebelah ayah seramai 14 belas keluarga yang telah dirancang sebelum itu.
“Dia juga mohon dibawa pulang ke rumah. Sangat susah sebenarnya buat kami pada waktu itu untuk menunaikan permintaan ayah kerana keadaan ayah yang masih memerlukan penjagaan rapi pihak hospital dan kami masih mahu berikhtiar selagi boleh untuk ayah.
“Kami berada dalam dilema memikirkan tentang perjalanan majlis menjamu saudara mara sedangkan ayah berada di hospital.
“Tapi kami percaya Allah SWT telah bimbing keputusan kami dan perancangan Allah itu cukup cantik, memudahkan apa yang kami lalui pada waktu tersebut. Sehari sebelum majlis diadakan, doktor sendiri memaklumkan telah habis ikhtiar dan sudah sampai masa ayah dibenarkan pulang.
“Permintaan ayah untuk balik ke rumah dan berada di majlis yang dirancangnya sendiri bersama ahli keluarganya tertunai. Dengan kerjasama adik beradik, beberapa permintaan peribadi yang lain juga kami rungkai satu persatu dan tunaikan seperti yang dihajati.”
Anak, menantu semua di sisi waktu ayah pergi
“Sungguh cantik aturan Allah. Hari tersebut orang ramai tidak putus-putus hadir menziarah seperti ayah dihujani rahmat dan doa. Petang itu, walaupun tiada perancangan awal, kami seperti dibimbing untuk mengadakan majlis kecil-kecilan bersama keluarga membaca al_quran menggunakan ayat-ayat dan surah terpilih yang dipimpin oleh seorang ustaz dari Syria, Iman Muda di Masjid Kampung Tunku juga kebetulan seorang kenalan ayah.
“Solat maghrib pada hari itu juga, seperti ‘dirancang’. Tanpa sebarang perancangan, seolah-olah seperti kami dikumpulkan untuk solat berjemaah bersama ayah. Sejurus selepas solat dan doa, nafas ayah tiba-tiba semakin lemah.”
“Alhamdulillah, saya sempat melafazkan shahadah di telinga ayah dan diulangi berulang kali hingga ayah menghembuskan nafas terakhir pada pkl 8.40 pm. Semua anak-anak dan menantu kesayangan ayah serta emak berada di sini ayah semasa ayah pergi.”
Solat jenazah diimamkan oleh anak lelakinya sendiri
“Solat jenazah ayah dimandikan anak-anak lelaki dan diimamkan oleh abang sulung di masjid Kampung Tunku. Subhanallah, hari itu kami sangat terharu dan bersyukur apabila melihat masjid dibanjiri ramai orang.
“Ini kerana, selain ayah merupakan orang masjid, menabur bakti dalam aktiviti Pakatan Kebajikan Islam di Kampung Tunku, ayah juga punyai ramai anak didik. Mereka ini turut hadir untuk menunaikan solat terakhir ayah.
“Walaupun sedih pemergian ayah tapi saya hadapinya dengan tenang. Mungkin kerana peluang yang Allah berikan kepada saya dan adik beradik untuk berada di sisinya dan menjaganya sebaik mungkin serta kami bersyukur dapat menunaikan segala permintaannya.”
“Bila ingatkan kembali apa yang kami lalui sewaktu ayah di hospital ia sebenarnya merapatkan lagi ukhuwah kami adik beradik dan perginya pula membuatkan kami lebih beringat kepada akhirat, semoga kami istiqomah,”ungkap Mieza.
/vanillakismis
Boleh Ke Gabungkan Puasa Ganti Dengan Puasa Enam? Baca Penjelasan Mufti

Isi Kandungan
Toggle
Nak puasa enam tapi tak ganti lagi puasa. Ada yang kata boleh saja gabungkan puasa enam dengan puasa ganti. Betul ke boleh? Perkara ini menjadi persoalan kaum wanita hampir setiap tahun. Supaya tiada kekeliruan lagi kita baca penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri tentang perkara ini.
Soalan:
Assalamualaikum , Saya ingin bertanya , bolehkah saya berniat puasa qada (ganti) dan puasa enam dibulan syawal secara serentak (dua dalam satu (puasa ganti dan puasa enam). Terima kasih
Jawapan:
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih kepada saudara yang bertanya.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Taala, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Surah al-Baqarah:183)
Berbuka Puasa Di Bulan Ramadhan Tanpa Ada Sebarang Keuzuran
Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadhakannya serta merta selepas tamatnya Ramadhan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qadha.
Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadhan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qadha kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).
Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat syawwal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadhan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)
Isu Menggabungkan Dua Ibadat Dengan Satu Niat
Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :
Sekiranya ia adalah termasuk dalam wasilah atau perkara yang bercampur maka hukumnya sah. Terhasil apa yang dihajatinya daripada kedua ibadat tersebut. Misalnya, jika seseorang itu mandi junub pada Hari Jumaat untuk melakukan Jumaat dan juga mengangkat junub. Sesungguhnya junubnya terangkat dan pahala mandi jumaat tersebut pun terhasil.
Walaupun salah satu daripada dua ibadat tersebut tidak diniatkan manakala yang lain pula diniatkan dengan zatnya maka sah himpunan atau gabungan tersebut dan tidak mencederakan ibadat tersebut misalnya solat tahiyyah masjid dilakukan berserta solat fardhu atau solat sunat yang lain.
Adapun menghimpunkan atau gabung di antara dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qadha atau kaffarah, atau nazar berserta puasa sunat seperti puasa sunat 6 hari pada Bulan Syawal maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad kerana setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat lain yang diniatkan dengan zatnya dan tidak pula berada di bawah ibadah yang lain.
Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qadha Bulan Ramadhan dan niat puasa 6 pada bulan syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?
Gabung Niat Puasa Qadha Ramadan Dan Puasa 6 Syawal
Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadhan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya.
Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja. Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadhan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadhan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadhan dan qadha di bulan Syawal, adakah berhasil qadha puasa Ramadhan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadhannya walaupun dia gabung niat puasa qadha Ramadhannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)
Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)
Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qadha puasa bulan Ramadhan bersama puasa sunat enam Syawal dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut. Hal ini kerana diqiyaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat 2 rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu) maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.
Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullahu Taala berkata: “Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lainnya, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut.
Hal ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim : “Apabila masuk salah seorang dari kamu ke dalam masjid hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain. (Rujuk Kitab Hasyiah al-Bujairimi 1/280)
Begitu juga nas yang hampir serupa dikatakan Syeikh Islam Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala: Terhasilnya solat sunat dua rakaat atau lebih (yang dimaksudkan dengan adalah hasilnya pahala solat walaupun bersama dengannya solat fardhu atau solat sunat yang lain) sama ada diniatkan sekali ataupun tidak.
Ia berdasarkan hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumahullahu Taala “ Apabila masuk seseorang daripada kamu ke dalam masjid maka janganlah ia duduk sehingga ia solat dua rakaat”. ” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain (Rujuk Kitab Fathul Wahab Syarah Manhajul Tullab 1/67)
Imam ar-Ramli Rahimahullahu Taala telah berkata: “Dan sekiranya berpuasa pada bulan syawal, puasa qadha, nazar atau selain daripada keduanya atau seumpama dengannya, seperti berpuasa pada hari A^syura maka telah dapat pahala puasa sunat itu baginya, seperti yang telah difatwakan oleh bapanya (bapa kepada Imam ar-Ramli), begitu juga oleh al-Barizi, al-Asfahuni, A—Nasyizi, al-Faqih Ali Soleh al-Hadrami dan selainnya tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna ke atas yang dituntut.” Begitulah sama hukumnya puasa Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal. (Rujuk kitab Nihayah al-Muhtaaj, 3/208-209)
Imam as-Suyuti Rahimahullahu Taala berkata : “Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa) maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyah Masjid. ” (Rujuk kitab Ashbah Wan Nazoir, hlm. 61)
Dalam Syarah al-Tanbih karangan al-Hafiz al-Suyuti Rahimahullahu Taala, daripada fatawa al-Baarizi Rahimahullahu Taala, beliau mengatakan : Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah terhasih keduanya (sah keduanya), begitu juga jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa). Tetapi al-Isnawi menyebut perkara ini tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Disisinya apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq”
Walupun begitu, perlulah diambil perhatian, maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna
Kesimpulan
Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdal seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal. Namun begitu, menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif.
Namun begitu, menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.
Sumber: www.muftiwp.gov.my