Jika kebiasaannya pengacara New York Televisyen, Natalie Pasquarella membaca berita semasa tapi kali ini beliau sendiri menjadi subjek beritanya.
Ketika sedang mengacarakan satu program bersama empat lagi pengacara NBC News pada jam 11 malam Selasa beliau telah tertawa kecil dengan jenaka dari salah satu berita yang dibualkan.
“Sewaktu ketawa itulah air ketubannya pecah, ketika kami masih dalam set dan sedang bersiaran langsung,” ujar teman pengacara yang membuat pengumuman tersebut keesokan harinya.
Ads
Namun menariknya, selepas mengetahui air ketubannya pecah Pasquarella mengendalikannya seperti seorang ‘pro’.
Dia terus mengacarakan rancangan sehingga selesai sebelum memberitahu eksekutif produser dan rakan yang lain. Pasquarella kemudian dikejarkan terus ke hospital, di mana suami sudah pun menunggunya.
13 jam kemudian dia selamat melahirkan cahaya mata yang diberi nama Jamin James.
Ads
“Kelahiran awal yang sangat indah, terima kasih pada yang memberi ucap selamat,”katanya dalam instagram.
Menjadi rutin biasa setiap kali menjelang peperiksaan besar, pelajar akan datang bertemu guru untuk memohon maaf dan restu mohon menghalalkan ilmu yang diajar oleh guru.
Tapi acara memohon restu yang dirakam ini cukup istimewa sekali malah menyentuh hati ramai hingga tular di media sosial.
Dirakam oleh seorang guru bernama Duzaimah Kamarurin tanpa dirancang, video berdurasi hampir 10 minit ini memaparkan empat orang pelajar tingkatan lima cacat pendengaran atau pekak datang bertemu guru tersebut untuk memohon restu menghalalkan ilmu sebelum mereka menempuh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Disampaikan dengan cara mereka tersendiri, sesi itu dimulai bila oleh pelajar Anas yang memohon Cikgu Duzaimah menghalalkan ilmu yang diperoleh. Ia diikuti dengan seorang lagi pelajar bernama Faiz yang turut memohon kemaafan dari guru tersebut.
Dalam sesi yang penuh dengan nasihat untuk para pelajar itu paling menyentuh hati ketika ini bila Faiz dalam bahasa isyaratnya mengatakan mahu menarik gurunya ke syurga di akhirat kelak. Malah dia menghargai jasa guru itu sampai akhir hayatnya.
Kata-kata itu tersebut untuk membuatkan guru yang membahasakan dirinya Cikgu Zimah itu menangis terharu malah memeluk anak murid tersebut.
Menariknya dalam sesi yang turut melibatkan dua lagi pelajar lain guru tersebut tak henti-henti memohon kemaafan dari anak muridnya itu selain meminta dihalalkan jika berlaku kekurangan selama dia mengajar.
Dia juga berulang kali memberitahu bahawa pelajar-pelajarnya itu tiada dosa dengannya kerana segalanya sudah dimaafkan.
Cukup mengenali sikap dan latar belakang setiap pelajarnya, Cikgu Duzaimah juga memberi nasihat yang berbeza buat mereka.
Malah berjanji akan terus membantu mereka walaupun sudah tamat persekolahan kerana perhubungan mereka akan kekal selama-lamanya.
Video yang mendapat banyak reaksi dari netizen ini, rata-ratanya sebak malah menitiskan air mata bila mendengar dan melihat aksi pelajar ini. Begitu juga bila melihat keakraban serta kemesraan guru ini dengan pelajarnya.
Dimuat naik oleh guru berkenaan dalam akaun Facebook, video yang melibatkan pelajar bernama Faiz dan Anas itu telah pun mendapat hampir sejuta tontonan sejak 3 November lalu.
Dalam kebanyakan situasi, usia 15 tahun masih sinonim dengan kehidupan di bangku sekolah menengah. Namun bagi Puteri Nur Azzahra, anak sulung kepada pengarah filem terkenal Aziz M Osman dan bekas isterinya, Puteri Lily Lokman, perjalanan akademiknya melangkah jauh lebih pantas daripada kebiasaan.
Remaja yang lebih dikenali sebagai Ara Aziz itu mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila diumumkan sebagai pelajar termuda yang mendaftar di Manipal University College Malaysia (MUCM), Melaka bagi sesi pengambilan tahun ini.
Menurut laporan Berita Harian, Ara dijadual memulakan pengajian dalam program asasi di universiti berkenaan pada 23 Julai, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan pendidikannya pada usia yang masih muda.
Pencapaian itu bukan berlaku secara kebetulan. Ia hadir hasil perkembangan akademik yang luar biasa apabila Ara sebelum ini berjaya menamatkan peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) dan memperoleh sijil O Level tahun lalu.
Menurut ibunya, Ara akan mengikuti program asasi selama setahun sebelum meneruskan pengajian ke peringkat ijazah.
Lily berkata, sebaik sahaja memperoleh keputusan O Level, anaknya tidak menunggu lama untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Lepas menduduki peperiksaan IGCSE tahun lalu dan memperoleh sijil O Level, Ara terus menyambung pengajian di peringkat asasi. Insya-Allah, tahun depan dia akan menyambung pengajian ke peringkat ijazah,” katanya kepada Berita Harian.
Lebih menarik, Ara bukan sekadar menyasarkan satu kelulusan akademik.
Menurut Lily, anaknya turut menyimpan impian besar untuk memiliki dua ijazah, walaupun perancangan tersebut masih berada dalam fasa jangka panjang.
“Ara juga memasang impian untuk mengambil dua ijazah, namun itu masih perancangan jangka panjang. Buat masa ini, kami mahu dia menamatkan pengajian asasi terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai bidang yang akan dipilih,” katanya.
Walaupun usianya jauh lebih muda berbanding kebanyakan pelajar universiti, keluarga memilih untuk memberi tumpuan kepada perkembangan akademiknya secara berperingkat tanpa terlalu tergesa-gesa membuat keputusan.
Sejak awal lagi, Ara dilaporkan menunjukkan kecenderungan terhadap bidang perubatan.
Bagaimanapun, hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu kerana syarat kemasukan program perubatan menetapkan calon perlu berusia sekurang-kurangnya 18 tahun.
Menurut Lily, keadaan itu menyebabkan anaknya memilih bidang lain terlebih dahulu sebelum kembali mengejar cita-cita asal apabila tiba masanya.
“Dia cenderung dalam bidang perubatan, tetapi syarat kemasukan memerlukan pelajar berusia sekurang-kurangnya 18 tahun. Disebabkan belum cukup umur, Ara akan meneruskan pengajian dalam bidang lain terlebih dahulu.”
Beliau berkata, bidang yang bakal dipilih nanti akan ditentukan menerusi perbincangan bersama pensyarah serta pihak universiti agar keputusan yang dibuat benar-benar bersesuaian dengan potensi dan minat Ara.
Walaupun bakal bergelar pelajar universiti pada usia 15 tahun, faktor umur bukanlah sesuatu yang terlalu membimbangkan buat keluarganya.
Ini kerana Ara sudah biasa mengikuti pembelajaran bersama pelajar yang lebih berusia selepas beberapa kali melangkau tahap persekolahan ketika mengikuti sistem IGCSE.
Menurut Lily, sepanjang pengajiannya sebelum ini, Ara tidak belajar bersama rakan sebaya, sebaliknya berada dalam kelas yang dihuni pelajar lebih tua.
Pengalaman itu secara tidak langsung membantu dirinya menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran yang lebih matang serta mencabar.
Keupayaan menyesuaikan diri inilah yang memberi keyakinan kepada keluarga bahawa Ara mampu mengharungi kehidupan sebagai pelajar universiti walaupun usianya masih muda.
Di sebalik kejayaan tersebut, Lily mengakui dirinya tetap melalui perasaan bercampur baur sebagai seorang ibu.
Beliau berasa bangga melihat pencapaian anaknya, namun pada masa sama tetap menyimpan kebimbangan memandangkan perjalanan akademik Ara masih panjang.
“Sebagai seorang ibu, saya sememangnya bangga melihat kejayaannya. Namun pada masa yang sama, saya tetap berasa risau kerana perjalanan yang perlu dilaluinya masih panjang.”
Menurut Lily, keluarga sebenarnya merancang untuk menghantar Ara melanjutkan pengajian ke luar negara pada masa hadapan.
Namun, keputusan untuk menempatkannya di Malaysia terlebih dahulu dibuat bagi mengelakkan kejutan budaya memandangkan usianya yang masih muda.
Beliau berharap Ara dapat membina kematangan, pengalaman dan keyakinan diri sebelum meneruskan pengajian di luar negara apabila mencapai usia 18 tahun.
Kisah Ara Aziz membuktikan bahawa pencapaian akademik tidak semestinya bergantung kepada usia, sebaliknya ditentukan oleh kemampuan, kesungguhan dan sokongan yang diterima sepanjang proses pembelajaran.
Walaupun perjalanan pendidikannya masih jauh, pencapaian menjadi pelajar universiti pada usia 15 tahun sudah cukup membuktikan bahawa beliau memiliki potensi luar biasa.
Dengan impian untuk menyambung pengajian ke luar negara dan cita-cita menceburi bidang perubatan pada masa hadapan, perjalanan Ara dijangka terus menjadi perhatian ramai serta memberi inspirasi kepada pelajar lain bahawa usia bukanlah penghalang untuk mengejar kecemerlangan akademik.
Filem aksi tempatan, TARUNG: Unforgiven terus mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya meraih kutipan RM10.5 juta hanya beberapa hari selepas ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 7 Mei lalu.
Lebih membanggakan, filem terbitan ALPHA47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw itu kini menduduki tangga pertama carta Top 10 Movies GSC, sekali gus mengetepikan beberapa filem antarabangsa lain.
Namun di sebalik kejayaan itu, pengarah merangkap penulis skrip dan penerbit eksekutif filem tersebut, Razaisyam Rashid mengakui apa yang paling memberi makna buat dirinya ialah sambutan luar biasa daripada penonton Malaysia.
Menurut Razaisyam, sejak hari pertama tayangan lagi, dia dan pasukannya sudah dapat merasakan kehangatan sokongan penonton terhadap filem tersebut.
“Saya sangat terharu dengan sokongan luar biasa penonton Malaysia terhadap TARUNG: Unforgiven.
“Dari hari pertama tayangan, kami dah dapat rasa kehangatan dan semangat dari penonton untuk filem ini,” katanya.
Tambahnya lagi, sambutan diterima bukan sekadar menerusi kutipan tiket semata mata, tetapi turut dapat dilihat menerusi reaksi penonton ketika sesi jelajah promosi di pawagam.
Menurut laporan, siri jelajah minggu pertama sekitar Lembah Klang menyaksikan ribuan peminat hadir memenuhi lokasi tayangan dengan sorakan, interaksi aktif dan sokongan luar biasa terhadap filem tersebut.
Bagi Razaisyam, kejayaan TARUNG: Unforgiven membawa harapan besar untuk industri filem aksi tempatan terus berkembang ke tahap lebih tinggi.
“Harapan saya, semoga TARUNG dapat jadi pemangkin baru untuk filem aksi tempatan pergi lebih jauh, lebih besar dan lebih berani.
“Kepada yang dah menonton, terima kasih kerana jadi sebahagian daripada perjalanan ini. Buat yang belum menonton, inilah masanya untuk rasai sendiri pengalaman TARUNG di pawagam,” ujarnya lagi.
Di media sosial, ramai penonton menyifatkan TARUNG: Unforgiven sebagai antara filem aksi tempatan paling intens pernah dihasilkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Antara yang paling mendapat perhatian ialah koreografi pertarungan yang dianggap realistik dan autentik selain jalan cerita yang sarat emosi dan dekat dengan realiti kehidupan.
Selain itu, lakonan barisan pelakon turut menerima pujian kerana berjaya membawa karakter dengan penuh tekanan dan emosi.
Visual sinematik yang dipaparkan juga dikatakan memberi pengalaman menonton lebih immersive di layar perak.
Pelakon utama yang juga penerbit dan penerbit eksekutif filem tersebut, Aedy Ashraf turut meluahkan rasa syukur melihat penerimaan luar biasa daripada penonton.
“Kejayaan ini memang sangat bermakna buat seluruh pasukan Alpha47 dan semua yang terlibat dalam pembikinan TARUNG: Unforgiven.
“Kami hasilkan filem ini dengan penuh dedikasi, pengorbanan dan jiwa,” katanya.
Menurut Aedy, kepuasan terbesar buat mereka adalah melihat sendiri reaksi penonton di pawagam serta respon positif yang membanjiri media sosial setiap hari.
TARUNG: Unforgiven menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Bront Palarae, Zul Ariffin, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah dan Aeril Zafrel.
Turut membintangi filem ini ialah petarung sebenar seperti Jai JMT dan Ijam Asri yang membantu memberikan elemen aksi lebih realistik.
Dengan momentum yang semakin kuat, ramai kini melihat TARUNG: Unforgiven sebagai antara filem aksi tempatan yang berjaya membuka lembaran baharu buat genre tersebut di Malaysia.
Khairul Aming meminta penjelasan daripada Maxis selepas maklumat bil telefon peribadinya didakwa didedahkan di media sosial, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan data pelanggan.