
Perkahwinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bersama Ramachandran Muniandy dilaporkan berakhir selepas 18 tahun mereka menjalani kehidupan sebagai suami isteri.
Perkembangan mengenai status rumah tangga pasangan itu disahkan oleh Setiausaha Akhbar Hannah, Ahmad Fazli Mohd Yadi pada Rabu.
Dalam kenyataan ringkasnya, Ahmad Fazli mengesahkan bahawa laporan mengenai perceraian tersebut adalah benar. Namun, beliau meminta semua pihak memberikan ruang kepada Hannah untuk melalui fasa berkenaan.
Buat masa ini, pihak Hannah juga tidak bercadang untuk berkongsi sebarang maklumat lanjut mengenai perkara tersebut.
Hannah, 47, dan Ramachandran, 46, melangsungkan perkahwinan pada 2008. Sepanjang mendirikan rumah tangga, mereka dikurniakan dua anak perempuan, Shay yang dilahirkan pada 2011 dan Kayleigh pada 2013.
Dalam perjalanan kerjayanya, Hannah pernah menerajui Kementerian Belia dan Sukan dari 2022 hingga 2025. Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari pertengahan 2018 hingga awal 2020.
Beliau kini memasuki penggal kedua sebagai Ahli Parlimen Segambut, kerusi yang dimenanginya buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum 2018.
Hannah juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya selama dua penggal, bermula pada 2008 hingga 2018. Pada 2013, beliau melakar sejarah sebagai wanita pertama yang dilantik mengetuai Dewan Undangan Negeri Selangor sebagai Speaker.

sekarang!
