
Sos black pepper ini antara sos wajib ada dalam masakan ala Western. Sama ada nak tuang atas ayam grill, daging panggang, steak atau burger homemade memang menaikkan rasa. Sos ini juga buatkan hidangan biasa nampak premium dan lebih menyelerakan.
Tak susah pun nak buat sendiri. Malah lebih jimat dan puas hati sebab boleh ubah ikut citarasa sendiri nak pedas lebih, lagi pekat, semua boleh. Macam ni lagi sedap. Buat ekstra boleh simpan dalam peti dan guna banyak kali! Tak perlu lagi beli sos botol mahal di pasar raya.
Cara Buat Sos Black Pepper Homemade Yang Sedap
Bahan-bahan
½ labu bawang besar Holland – dicincang halus
4 sudu besar tepung gandum
1 kiub pati ayam
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis (untuk gelapkan sos)
5 sudu besar sos lada hitam
2 sudu besar serbuk lada hitam kasar
3 cawan air (boleh tambah kalau nak cairkan sikit)
2 sudu besar mentega
5 sudu besar susu full cream
2-3 sudu besar gula perang
Sedikit oregano
Cara Membuat
1. Cairkan mentega dalam periuk, tumis bawang besar cincang hingga layu dan naik bau.
2. Sementara itu, bancuh tepung gandum dengan sedikit air untuk elak berketul.
3. Masukkan air, serbuk lada hitam dan bancuhan tepung tadi ke dalam tumisan. Guna hand whisk untuk kacau sampai licin dan sebati.
4. Masukkan kiub ayam, sos lada hitam, sos tiram, susu full cream dan kicap.
5. Perasakan dengan gula perang dan masukkan oregano. Renehkan sampai pekat dan likat. Tambah air jika terlalu likat.
TIP
- Sos ini sedap dimakan dengan ayam grill, daging bakar, pasta, kentang putar atau dijadikan sos pencicah.
- Nak lagi sedap, buat lebih dan simpan dalam bekas bertutup dalam peti sejuk. Tahan 3–4 hari dan boleh panaskan semula bila nak guna.
- Kalau suka lebih pedas, boleh tambah sedikit cili flakes atau serbuk lada sulah.
Sumber: Che Puan Jue
Baca Lagi: Chicken Tenders Homemade Yang Rangup & Juicy, Siap Dengan Sos. Buat Sendiri Lagi Jimat