
Bila ada lebihan nasi ramai cuba buat apam nasi ini. Cara membuatnya pun ringkas, sebab itu kita pun teruja nak mencuba.
Walaupun begitu selalu kita dengar bila dah buat hasilnya tak menjadi. Apam kecut, bantat antara masalahnya. Tak gebu macam yang kita selalu beli. Sudahnya ramai yang putus asa.
Bagi memastikan apam nasi yang dibuat gebu gebas, cara dan tip yang dikongsi oleh Janna Hanie boleh dijadikan panduan.
Cara buat apam nasi gebu
Sebelum ini buat apam jadi bantat atau bila buka penutup apam kecut. Tapi bila ikut resipi dan tip ini alhamdulillah menjadi.
Bahan-bahan:
1 cawan nasi sejuk
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
1 cawan gula (kalau tak suka manis, boleh kurangkan)
1 cawan air
1 sudu makan yis (separuh peket yis kering)
Cara membuat:
1. Kisar nasi, gula, air sampai halus.
2. Kemudian campur dengan tepung gandum,tepung beras dan yis. Gaul sebati.
3. Perap adunan sampai naik sekali ganda baru masukkan dalam acuan dan kukus (saya perap 1 jam saja)
4. Jika nak hasil apam yang gebu dan pecah kukus guna api besar.
Tip dapat apam yang cantik
- Acuan jangan sapu minyak
- Isi adunan penuh acuan
- Kukus 10 minit(acuan kecil), kalau acuan besar (kukus lebih sikit masa dalam 15-20 minit).
Selamat mencuba.
Sumber: Janna Hanie
Cara Isi Nama Waktu Beli Tiket Penerbangan Supaya Tak Terbalik Dalam Boarding Pass

Cara isi nama waktu beli tiket kapal terbang supaya betul pada boarding pass. Bagi yang pertama kali atau jarang membeli tiket kapal terbang sudah tentu akan sedikit keliru.
Sudahnya nama yang tertera di dalam boarding pass terbalik. Nampak remeh, tapi sebenarnya penting. Kalau korang bakal terbang ke luar negara atau baru pertama kali beli tiket kapal terbang sendiri, ini perkara penting.
Ada beberapa cara berbeza mengisi nama berdasarkan syarikat penerbangan tertentu seperti Malaysia Airlines (MAS), AirAsia, dan sebagainya. Berikut perkongsian berguna dari Rusila Yusof ini yang boleh dijadikan rujukan.
Cara Isi Nama Waktu Beli Tiket Penerbangan
Baru-baru ini saya terbaca satu posting di group travel tentang soalan seseorang mengenai tiket yang beliau beli dan namanya terbalik di boarding pass. Ramai yang tinggal emoji ketawa.
Apabila saya komen tentang cara saya isi nama semasa membeli tiket juga, ada juga yang tinggal emoji yang sama dikomen saya. Bila orang pertikai cara saya isi, saya bagi bukti gambar boarding pass saya yang lama-lama.
Di sini saya nak kongsikan cara mengisi nama sewaktu anda nak membeli tiket kapal terbang. Sebenarnya ada banyak cara isi. Yang penting anda ikut sebijik-sebijik nama di pasport. Jangan tertinggal walau satu perkataan pun. Itu lebih selamat.
A. Cara Malaysia Airlines (MAS)
Walaupun panduan MAS agak pelik dan berbeza, bagi saya ia memudahkan kita. Sebab apabila kita ikut cara MAS, kalau tiba-tiba ada pengumuman di airport, kita senang perasan orang panggil kita terutamanya di luar negara.
Cara MAS isi nama adalah, kena isi secara terbalik. GIVEN NAME kena letak nama ayah kita. Dan SURNAME pula letak la nama kita. Contoh nama saya RUSILA BINTI YUSOF. Cara isi nama
Given name/First name: BINTI YUSOF @ YUSOF
Surname/Last name: RUSILA @ RUSILA BINTI
Jadi apabila boarding pass dicetak, nama yang tertulis adalah seperti berikut
RUSILA/BINTI YUSOF
RUSILA BINTI/YUSOF
Jika nama anda panjang seperti MUHAMMAD UWAIS QAYYUM BIN MOHD FIRDAUS
Given name/First name: BMF
Surname/Last name: MUHAMMAD UWAIS QAYYUM
Nama di cetakan boarding pass
MUHAMMAD UWAIS QAYYUM/BMF
B. Cara AirAsia
Cara AirAsia pula seperti berikut
Given name/First name: RUSILA BINTI @ RUSILA
Surname/Last name: YUSOF @ BINTI YUSOF
Nama cetakan di boarding pass
YUSOF/BINTI RUSILA
BINTI YUSOF/RUSILA
C. JIKA NAMA HANYA SATU PERKATAAN
Saya pernah ada pengalaman isi nama yang dia hanya ada satu nama sahaja. Orang Indonesia. Cara isi adalah seperti berikut jika namanya RUSILA
Given name/First name: RUSILA
Surname/Last name: RUSILA
Di cetakan boarding pass nanti tertulis
RUSILA/RUSILA
D. JIKA NAMA TERLALU PANJANG.
Contoh saya ada letakkan dah di A. Singkatkan nama ayah kita. Ambil huruf hadapan sahaja. Nama kita yang sebenar kena kekalkan.
E. JIKA NAMA TIADA NAMA AYAH
Sekarang ni bila nama terlalu panjang, imigeresen dah mula buang nama ayah dalam pasport. Saya pernah terima nama sebegitu semasa beli tiket. Saya tengok tiada nama ayah dalam pasport. Cara saya isi adalah seperti berikut:
Contoh nama:
MUHAMMAD UWAIS QAYYUM
Cara 1
Given name/First name: QAYYUM
Surname/Last name: MUHAMMAD UWAIS
Nama di cetakan boarding pass nanti:
MUHAMMAD UWAIS/QAYYUM
Cara 2
Given name/First name: MUHAMMAD
Surname/Last name: UWAIS QAYYUM
Nama di cetakan boarding pass nanti:
UWAIS QAYYUM/MUHAMMAD
Cara 3
Sekarang Trip.com sudah mula letak column untuk isi nama kita tanpa surname. Tapi saya belum isi cara ini. Bermakna sekarang kita tak payah risau lagi cara isi surname atau last ni. Tulis given name sahaja
GIVEN NAME/FIRST NAME: RUSILA BINTI YUSOF
Dan tinggalkan column surname/last name. Saya belum cuba lagi. Ingat nanti nak cuba sekali. Sebab ikutkan sebenarnya kita orang Malaysia tiada surname.
Kesimpulannya, isi saja ikut nama yang tertera di passport. Itu yang penting. Jika nak lebih detail, rujuk airlines masing-masing jika keliru dan risau. Saya telah mengisi dengan pelbagai cara dan pelbagai airlines dengan cara yang saya nyatakan dan alhamdulillah tiada masalah.
Sumber: Rusila Yusof
Baca Lagi: Juruterbang Ini Pesan Elak Naik Flight Petang Jika Takut ‘Melambung’ Dalam Pesawat Akibat Turbulence
DIY Sarung Kusyen Tanpa Jahit. Gunting, Ikat Dah Siap!

Nak tukar sarung kusyen tapi corak yang ada kita tak berkenan. Kalau berkenan pula, saiznya pula tak sama. Ada saja masalahnya.
Sudahnya kita buat sendiri sajalah. Takde masalah pun kalau tiada mesin jahit sebab ada saja teknik yang boleh dilakukan untuk menghasilkan sarung kusyen tanpa jahit.
Macam yang dikongsi oleh Nurul Azira ini. Memang senang! Menurutnya dia membuatnya sendiri memandangkan sukar untuk mencari sarung kusyen jenis ini yang mengikut citarasanya.
Alternatifnya buat sendiri walaupun tanpa mesin jahit menggunakan kaedah gunting dan ikat!
Barang yang diperlukan
- Kain jenis lycra
- Gunting
Cara membuat:
1. Ini warna pilihan yang sukar dicari hingga memaksa ‘menDIY’ sarung kusyen. Terlebih dahulu lipat dua kain sebelum mengukur.
2. Ukur kain mengikut saiz sarung kusyen.
3. Gunting mengikut ukuran, pastikan bahagian hujung dilebihkan untuk proses ikatan.
4. Di bahagian hujung, buat jalur dan gunting.
5. Tutup kusyen dengan kain yang siap diukur tadi.
6. Sekarang proses mengikat. Ikat simpul, pastikan ikatannya kukuh.
7. Inilah rupanya kusyen yang dah siap diikat.
8. Inilah hasilnya. Dah siap sarung kusyen baru ikut citarasa.
Kaedah ini juga sesuai untuk buat sarung bantal hiasan sofa / throw cushion ataupun sarung tilam. Selamat mencuba!
Sumber: Nurul Azira
Buat Sendiri Ikan Siakap 3 Rasa Kalau Nak Jimat. Masak Pun Mudah, Bahan Semua Ada Di Rumah

Siakap 3 rasa ini kalau makan di restoren memang boleh tahan harganya. Sedangkan kalau masak sendiri banyak boleh jimat.
Yelah harga ikan ini ada masa boleh dapat dalam RM10-RM15 seekor. Bahan-bahan lain kebanyakan dah ada di rumah. Tinggal buat saja.
Kalau ada sambutan hari bermakna bolehlah buat hidangan ini di rumah, tak perlulah makan kat luar. Cara masak siakap 3 rasa ini pun sebenarnya taklah susah. Boleh ikut resipi yang dikongsi oleh Afy AL Habibi , confirm semua makan sampai licin. Hias cantik-cantik baru nampak special macam makan kat restoren.
Step by step masak ikan siakap 3 rasa
- Perapkan ikan 1/2 jam dengan bahan yang telah ditumbuk
-2 hiris halia
-3 ulas bawang putih
-1/2 sudu kecil garam
Saya suka belah ikan ala ‘fillet’. Isi ikan akan lebih rangup dan sedap.
2. Selepas diperap, tabur rata 3/4 sudu besar tepung jagung di depan dan belakang ikan untuk elak ikan melekat dan isinya lebih rangup.
3. Goreng ikan dalam minyak yang panas dan banyak.
4. Sementara itu, sediakan bahan yang perlu dipotong:
– 1/2 biji bawang merah- dadu
– 1/2 biji bawang Holland- dadu
– 2 ulas bawang putih – dadu
– 2 helai daun limau purut
– 2 hiris halia- hiris memanjang
– 3 tangkai cili padi merah
– 1 tangkai cili besar hijau
– 1 batang serai- hiris serong
– 1 hiris nanas- hiris dadu
5. Panaskan minyak, gunakan minyak gorengan ikan tadi, masukkan semua bahan yang dipotong kecuali cili dan nenas.
6. Kemudian masukkan pula 1 senduk bahan kisar
– 1/2 biji bawang merah
– 1/4 biji bawang Holland
– 1 ulas bawang putih
– 1/4 sudu kecil ketumbar& jintan putih
– 2 hiris nipis serai
– 1/4 hiris nipis halia
Tumis sehingga naik bau dan sedikit garing.
7. Masukkan pula 1 1/2 senduk cili kering kisar. Tutup kuali dengan penutup seketika. Biarkan ia pecah minyak.
8. Tambahkan 1 senduk cili sos Life, masukkan juga 1 sudu besar sos tiram dan 3/4 gelas air asam jawa (secubit asam jawa + 3/4 gelas air). Kacau sekata dengan api sederhana perlahan.
9. Perasakan dengan;
– 1 3/4 sudu besar gula
– 3/4 sudu kecil garam
– 1/2 sudu besar perencah Hilal
10. Akhir sekali masukkan potongan nenas sebelum ditutup api. Masukkan juga sedikit cili potong tadi.
11. Siap! Sedia untuk dicurahkan kuah ini atas badan ikan.
Dah boleh makan, nampak special kan!
Sumber: Afy AL Habibi