Ramai yang kagum dengan transformasi Amber Rachdi gadis berusia 24 tahun ini. Dari berat 300kg dia berjaya mengurangkannya hingga separuh, dengan berat terkini 119kg.
Kalau nak tahu usaha Amber untuk menurunkan berat badannya bukanlah sekejap dan mudah. Dia mengambil masa selama tiga tahun untuk melakukannya.
Kisahnya mendapat simpati dan menjadi tumpuan ramai selepas terlibat dalam satu program TV, My600lb Life pada tahun 2014 bila dia menjadi salah seorang peserta program realiti menurunkan badan.
Amber mengalami masalah ketagih makan serius yang membuatkan dia tidak mampu mengawal pemakanannya.
Walaupun berasa takut dengan jumlah makanan yang diambil namun dia gagal mengawal diri dari berhenti makan walaupun sudah kenyang.
Mengalami masalah obesiti sejak usia lima tahun, berat badannya ketika itu sudah mencecah 72kg dan ia bertambah dan terus bertambah.
Tidak diketahui puncanya, tapi kebanyakan lemaknya lebih jelas di bahagian kaki menyebabkan dia sukar berjalan. Dia juga hanya boleh berdiri selama beberapa minit.
Namun sejak kisahnya disiarkan dalam program realiti itu pada 2015, kehidupannya berubah 100 peratus.
Ia juga mengubah diri Amber dari wanita yang kecewa kepada gadis penuh keyakinan diri dan cantik!
Sebagai permulaan program itu dia melakukan gastric by pass surgery atau pembedahan pintasan gastrik dan diberi panduan pemakanan yang khusus.
Kesan pembedahan dan juga pemakanan itu saja cukup besar buat gadis ini. Namun perubahan yang besar buat Amber bila di dia dipindahkan ke Houstan, Texas agar berada dekat dengan pakar yang memantau perkembangannya Dr Younan Nowzaradan.
Pembedahan yang dilakukan, pemantauan pakar, dan terapi yang dijalani Amber membuatkan dia berubah sepenuhnya menjadi gadis yang baru, cantik dan sihat.
Dia berjaya menurunkan 181 kg dari berat badan asal 300kg dengan berat terkini 119kg. Hebatkan!
/vanillakismis
Cuma Kawal Makan 7 Hari Tapi Turun 6KG. Boleh Cuba Kaedah Diet GM, Sesuai Untuk Yang Nak Turun Berat Cepat
Seminggu boleh turun 5kg-8kg? Banyak tu! Bagi yang perlu menurunkan berat badan dengan kadar cepat, mungkin boleh cuba kaedah GM Diet ini.
Kaedah yang sama juga dicuba oleh Mied Majid sehingga berjaya menurunkan 6kg dalam masa seminggu. Ini yang dilakukan sepanjang 7 hari.
Kawal makan 7 hari turun 6kg
Ramai yang tanya pasal diet yang turun hingga 6kg tu. Sebenarnya, itu adalah experimental diri sendiri dengan GM DIET. Ok la. Berikut dikongsi GM diet yang dibuat sebelum ini. Semoga memberi manfaat pada yang ingin mencuba!
Apa itu GM DIET ?
GM = General Motor
Diet GM pertama kali diasaskan khusus untuk para pegawai di perusahaan General Motors, Amerika Syarikat.
Diet ni merupakan program diet 7 hari yang diuji oleh John Hopkins Research Center. Program diet ini berjaya meningkatkan tahap kesihatan dan kesegaran di pengurusan General Motors, sekali gus menaikkan daya saing produk di perusahaan General Motors.
Diet GM ni sesuai untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan secara cepat tanpa rasa lapar. Diet ni mampu menurunkan berat badan sekitar 5-8kg dalam tempoh seminggu. Diet GM juga bersifat detoksifikasi serta mampu memperbaiki pola makan seseorang.
Diet ni dilakukan dengan menu yang telah ditetapkan. Selama diet ini berlangsung, anda harus minum air kosong minimum 8 gelas setiap hari dan tidak boleh minum minuman manis.
Diet GM boleh diulang sekali sebulan tanpa mengganggu keseimbangan gizi.
HARI PERTAMA – makan buah-buahan kecuali pisang
Di hari pertama ini hanya dibolehkan makan buah-buahan. Semua buah kecuali pisang. Digalakkan makan lebih buah tembikai. Boleh makan kerap hingga kenyang.
HARI KEDUA -cuma makan sayur-sayuran
Hari kedua hanya dibolehkan makan sayur-sayuran. Apa saja jenis sayur baik mentah ataupun dimasak. Boleh dimasak tumis, sup ataupun rebus.
Boleh juga dibuat pecal cuma hadkan kekacang. Digalakkan sarapan dengan kentang rebus. Tiada had jumlah ataupun jenis sayuran. Boleh makan kerap hingga kenyang.
HARI KETIGA hanya makan sayur-sayuran dan buah-buahan kecuali kentang & pisang
Di hari ketiga boleh mencampur menu sayur-sayuran dan buah-buahan. Tiada had jumlah dan boleh makan sebanyak yang diinginkan.
HARI KEEMPAT hanya makan pisang & susu rendah lemak
Di hari keempat, perlu makan 8 biji pisang serta 3 – 4 gelas susu rendah lemak. Tidak boleh makan makanan lain pada hari ini. Sekiranya anda allergi terhadap susu lembu (Lactose intolerance), boleh gantikan susu rendah lemak dengan susu kacang soya.
Bagi yang tidak suka atau tidak boleh makan pisang, boleh digantikan dengan jambu batu, buah kiwi ataupun tembikai.
HARI KELIMA cuma makan makanan dari sumber protein & 6 biji tomato
Pada hari ni, anda boleh ambil 560gram sumber protein seperti daging lembu, ikan ataupun ayam tanpa kulit. Dimakan bersama dengan 6 biji tomato. Daging hamburger atau Meet ball dibolehkan.
Tingkatkan pengambilan air putih untuk memudahkan sistem pencernaan. Bagi yang vegetarian, daging boleh digantikan dengan tempe. Pada anda yang tidak suka tomato, boleh gantikan dengan belimbing.
HARI KEENAM hanya makan makanan dari sumber protein & sayur-sayuran
Di hari keenam ini, anda boleh memakan kombinasi daging, ayam tanpa kulit atau ikan bersama sayur-sayuran. Tiada had jumlah. Boleh makan hingga kenyang.
HARI KETUJUH makan nasi beras perang / parboiled, jus buah & sayur-sayuran
Merupakan hari terakhir dalam GM diet. Hari ketujuh merupakan hari kembali pada pola makan yang biasa. Mulai dengan satu mangkuk nasi beras perang (sebesar penumbuk), dimakan bersama sayur serta jus buah.
Nota Tambahan
- GM diet ini cukup dilakukan sebulan sekali.
- Jangan ambil minuman & makanan bergula sepanjang GM diet.
- Selesai 7 hari GM diet, teruskan dengan memilih diet suku suku separuh, atkins fasa 4, eat clean ataupun intermitten fasting untuk maintain berat badan.
Selamat mencuba.
Sumber: Mied Majid
Sihat Pada Usia 94, Masih Boleh Pakai Pakaian 40 Tahun Lalu. Rahsia Tun M Cuma Ikut Petua Ibu
Sudah berusia 94 tahun hari ini, beliau menjadi Perdana Menteri paling tua di dunia ketika ini. Tapi itu tidak menghalang Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menerajui negara. Malah ramai yang kagum dengan tahap kesihatan dan juga tenaga Tun Mahathir yang dilihat begitu aktif selain punya daya fikir tajam.
Tidak dinafikan beliau punya kelebihan sebagai doktor malah punya isteri yang juga seorang doktor tapi pasti ada amalan tertentu yang dilakukan dalam memastikan tubuh badan sihat pada usia menghampiri satu abad.
Menurutnya, tiada rahsia yang diamalkan cuma harus sentiasa mengamalkan hidup sihat.
“Jangan hisap rokok, minum arak dan makan terlalu banyak, itulah tiga perkara yang saya amalkan.
“Lagi satu, dalam soal penjagaan makanan, pastikan berhenti sebelum kenyang kerana jika tidak beringat maka perut pun mudah jadi besar,” katanya memetik daripada Sinar Harian Online.
Ikut petua ibu
Dalam pada itu ujar Tun Dr Mahathir hingga ke saat ini beliau masih mengikuti petua ibunya dalam menjaga pemakanan agar berat badan tidak mudah naik.
“Ibu saya kata, ketika tengah seronok makan, berhenti. Apabila kita biasakan diri dengan tabiat ini, ia akan menjadi lebih mudah.
“Sebab itu, seluar yang saya beli lebih 40 tahun dahulu masih lagi muat,” tambahnya.
Pernah berdepan dengan masalah jantung, Tun Dr. Mahathir turut memberi nasihat agar jaga jantung masing-masing kerana ia merupakan organ penting dalam tubuh badan.
“Jantung bekerja sepanjang masa, dari dalam rahim lagi hingga akhir hayat kita, jadi ingat-ingatlah sikit dan janganlah bagi ia kerja banyak.
“Bila badan kecil, jantung berupaya bekerja dengan mudah untuk mengepam darah ke seluruh tubuh, tapi bila badan besar, organ tersebut perlu bekerja dengan lebih kuat lagi,” katanya.
Sumber: Sinar Harian Online
4 Kali Bersalin, 4 Kali Czer, Ibu Ini Kongsi Dugaan Yang Dilalui Termasuk Tumpah Darah. Tapi Untungnya Waktu Pantang Dijaga Rapi Oleh Suami
Bersalin secara caesarean (czer) bukanlah sesuatu yang mudah. Ya, memang sama ada normal mahupun czer, kedua-duanya ada pahit getirnya yang tersendiri. Namun apabila bersalin secara czer, perut dibelah, kemudian dijahit, lukanya pula kena dijaga rapi. Tak boleh basah. Jika tidak, tanggunglah azab jika luka terbuka, berair malah bernanah.
Sekali czer pun sudah cukup perit, apatah lagi jika berkali-kali. Perkongsian pengasas produk Ellsee, Puan Sheda Said, 40 tahun, begitu bermanfaaat dibaca demi memberi pemahaman kepada wanita yang bersalin secara czer. Bukan sekali, bukan dua kali, malah empat kali wanita ini bersalin secara czer.
Czer kali pertama tanpa persediaan mental
Dua belas jam di bilik bersalin bukanlah tempoh yang singkat. Laluan sudah buka 4 cm namun sedikit pun dia tidak berasa sakit. Selepas melihat keadaan Sheda yang sudah tidak bertenaga dan bayi pun sudah terlalu lemah, doktor membuat keputusan untuk czer.
“Kali pertama czer pada 2003, saya memang tidak bersedia dari segi mental dan fizikal. Ditambah pula dengan tiada pengalaman bersalin. Jadi jiwa dan mental stres. Bila nurse kata kaki kena gerak-gerak sikit barulah darah jalan, saya cuba untuk buat macam tu. Perut yang sakit kena belah tu dah mula rasa sakit bila bius habis selepas 6 jam. Nak bangun pun seksa. Nak ke tandas pun saya siap meniti tepi dinding dengan kepala pening dan mata berpinar,” ceritanya.
Baby besar
Pada 2006, sekali lagi Sheda perlu melalui pengalaman czer kerana hasil imbasan doktor menyatakan bayinya besar. Selepas diukur tulang pinggulnya, doktor bimbang jika bersalin secara normal akan tersangkut bahu.
“Walaupun kita berdoa supaya boleh bersalin normal, namun mind set kena sentiasa bersedia hadapi sebarang kemungkinan. Saya lakukan persediaan minda dan emosi. Dan ianya mujarab untuk mengurangkan kesakitan dan rasa stres bila kena czer,” ceritanya lagi.
Trauma bersalin Czer kali ketiga
Apabila sudah dua kali bersalin czer, maka Sheda tiada pilihan untuk bersalin normal kerana memang wajib czer apabila hamil lagi pada 2011. Dua kali dicucuk bius, barulah bius itu berfungsi memberikan kesan kebas kepadanya. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Sampai dia mengakui rasa seperti trauma.
“Sepatutnya selepas bersalin kali ketiga secara czer, orang tu dah tak boleh mengandung lagi demi keselamatan diri. Tapi disebabkan doktor tengok luka czer saya elok, dia benarkan seorang lagi. Anak ketiga saya lahirkan bayi perempuan.” katanya.
Diuji tak boleh berjalan kesan bius 3 kali
Menurut Sheda, ketika hamil anak keempat, dia tidak mampu berjalan. Pergerakannya perlu dipapah oleh suami. Sebagai seorang usahawan, sudah pasti masalah ini mengganggu pergerakannya untuk menguruskan bisnes.
“Saya bimbang sangat kalau lepas bersalin ni tiba-tiba lumpuh ke, apa ke. Maklumlah masa mengandung tu nak ke mana-mana memang suami kena papah. Kena naik kerusi roda. Kata doktor, ini semua ialah kesan bius tiga kali czer sebelum ini. Bila saya tanya doktor apa ubat untuk boleh berjalan masa mengandung ni, doktor kata ubatnya bersalin,” tambah Sheda.
Tumpah darah selepas czer kali ke-4
September 2016, selepas bersalin secara czer untuk kali keempat, Sheda dijaga rapi di hospital. Selepas selesai czer, dia diletakkan di sebuah bilik khas. Setiap jam ada nurse yang tukarkan pad. Sehinggalah suatu ketika, nurse yang menukarkan padnya tiba-tiba keluar secara tergesa-gesa lantas masuk kembali bersama seorang doktor.
“Ngeri apabila teringat doktor memasukkan tangannya ke dalam laluan peranakan. Darah keluar banyak disebabkan saya tumpah darah. Doktor seluk sebab nak keluarkan darah beku. Inilah pengalaman yang tak boleh dilupakan. Dan ini juga anak yang terakhir kerana saya dah ikat. Cukuplah empat orang anak saya dilahirkan secara czer,” katanya.
Suami beri sokongan moral
Tuan Borhan Mahmood, 47, bolehlah dikatakan sebagai suami contoh kerana mampu menjaga isteri yang bersalin czer empat kali. Sebagai anak bongsu daripada 12 beradik, dia mengakui mendapat ilmu menjaga wanita berpantang melalui pemerhatian apa yang dibuat oleh ibunya kepada kakak-kakaknya.
“Saya dan isteri sama-sama anak yatim piatu. Jadi apabila isteri bersalin, sayalah yang jaga. Nak harapkan siapa lagi? Sheda pulak satu-satunya anak perempuan dalam adik-beradik dia.
Memang renyah jaga isteri berpantang tapi bagi saya inilah masanya untuk bagi isteri betul-betul rehat. Kerja rumah, memasak, jaga anak semua saya buat. Isteri cuma pegang anak masa dia nak menyusukan anak je. Kena ikhlaskan hati untuk kita sendiri happy tengok isteri sihat betul-betul.
Orang bersalin czer ni lain. Dua minggu pertama lepas bersalin memang kena jaga betul-betul. Kita tak rasa. Isteri yang rasa. Kita kena jaga emosi dia jangan sampai terganggu,” ujar Tuan Borhan.
Air mandian, bertungku
Setiap kali mandi, Tuan Borhan akan sediakan air hangat untuk isterinya. Bertungku pula dilakukan sepanjang masa. Besi panas berbungkus diletakkan di bawah punggung, labu betis sepanjang masa. Tujuannya supaya isteri kekal dalam keadaan hangat dan melancarkan perjalanan darah.
“Ada yang bertungku hanya selepas mandi. Tapi saya pastikan isteri bertungku sepanjang masa. Saya celup besi tu dalam air panas, bungkus dengan kain. Bila suhu kurang, saya celup lagi dalam air panas. Cuma berurut je lah saya tak pandai. Saya panggil tukang urut.”
Menu Berpantang
Antara hidangan untuk dinikmati isterinya ketika berpantang:
1) Ikan haruan – sup, bakar
2) Daging rusa – sup, black pepper, halia
3) Ikan gelama – bakar
4) Ikan kerisi – bakar
“Nasihat saya pada suami yang isterinya sedang berpantang terutama yang bersalin czer tu, hargailah pengorbanan isteri kita. Jagalah sebaik-baiknya. Jaga emosi dia. Jangan bagi dia stres. Ikhlaskan hati ketika menjaga mereka yang sedang sakit. Mereka lahirkan zuriat kita, bertarung nyawa untuk itu semua. Bukannya lama, 40 hari je,” tambahnya.