
Waspada bau dalam kereta terutama kalau dah letak pewangi tapi aromanya lain macam. Tak harum sebalik busuk seperti ada yang terbakar, ataupun lebih teruk bau telur busuk.
Hati-hati ya, kalau terhidu bau begini dalam kereta. Itu petanda kereta ada masalah.
Kalau nak tahu, ada beberapa bauan dari kereta yang menandakan berlaku kerosakan atau kebocoran pada alat dalam kereta.
Waspada bau dalam kereta
1. Bau telur busuk
Bau seperti telur busuk mungkin menandakan catalytic converter kereta sudah rosak. Catalytic converter adalah komponen penting dalam sistem ekzos kenderaan yang berfungsi mengurangkan pelepasan gas berbahaya ke udara.
Bau ini berlaku apabila alat tersebut gagal menukar gas ekzos daripada enjin dengan betul. Jika dibiarkan boleh menyebabkan kerosakan besar yang mahal untuk dibaiki.
2. Bau sirap manis
Memang baunya sedap tapi bahaya. Jika kereta mengeluarkan bau seperti sirap manis ia mungkin petanda cecair penyejuk enjin atau coolant sedang bocor daripada sistem penyejukan.
Ia biasanya berbau seakan-akan maple syrup. Kebocoran seperti ini sangat berbahaya dan boleh menyebabkan enjin menjadi terlalu panas atau kereta rosak di tengah jalan.
3. Karpet terbakar
Jika terhidu bau seakan karpet terbakar, sebaiknya berhati-hati kerana ia biasanya menandakan masalah pada sistem brek.
Sekiranya bau ini muncul ketika sedang memandu, segera bawa kereta untuk pemeriksaan brek demi keselamatan.
4. Minyak terbakar
Bau seperti minyak terbakar berkemungkinan membawa maksud kereta mengalami kebocoran minyak enjin. Kebocoran boleh berlaku atas pelbagai sebab dan ia memerlukan perhatian.
Jika anda syak ada kebocoran, periksa jika terdapat titisan minyak di bawah kereta atau lihat sama ada ada asap keluar dari ruang enjin setelah kereta dipanaskan.
5. Petrol
Adalah perkara biasa untuk menghidu bau petrol di stesen minyak, tetapi tidak normal jika bau itu kekal sepanjang masa.
Jika kerap terhidu bau petrol semasa memandu, ini mungkin petanda kebocoran pada sistem bahan api, seperti pada injektor atau tangki minyak.
Bau petrol yang berpanjangan juga boleh menjadi risiko kebakaran, jadi pastikan kereta anda diperiksa oleh mekanik dengan segera.
Sumber: Mstar
Baca Lagi: Kereta Keluar Bunyi Lain Macam Bila Memandu Petanda Ada Yang Rosak