Hampir setiap rumah kita ada tong gas, tapi tahukah kita apa yang perlu dilakukan bila satu dapur berbau gas akibat tong gas bocor?
Dalam perkongsian di media sosial netizen berkongsi apa yang perlu dilakukan.
Kejadian ngeri
Pulang ke rumah pada tengah malam selepas makan malam di sebuah restoran, seorang lelaki terhidu bau gas yang tersebar di sekitar rumah.
Lelaki itu pergi ke dapur untuk mencari bau yang lebih kuat. Fikiran bawah sedar mendorongnya untuk menghidupkan lampu, dan dapur meletup. Suami mati dengan serta-merta dan isteri dimasukkan ke ICU.
Perabot dilihat 200 meter dari rumah, bermakna letupan paip gas itu lebih kuat daripada bom.
Apa perlu dilakukan
Pelajaran yang diperoleh dari kejadian yang mengerikan ini ialah:
1. Apabila terhidu bau gas, jangan terus hidupkan lampu, tetapi buka semua pintu dan tingkap dengan tenang, supaya tidak ada percikan api.
2. Kemudian tutup tabung gas dan jangan pasang lampu sehingga bau gas hilang sepenuhnya.
3. Juga jangan buka peti sejuk jika anda bau gas, kerana ia juga boleh menyebabkan letupan, dan juga kipas sedutan (exhaust fan) kerana ia mempunyai cas elektrik. Hanya perlu buka tingkap.
Kongsikan untuk manfaat dan keselamatan semua.
Sumber: Abu Gen
Homemade Spray Untuk Bersih Macam-macam Termasuk Karat. Cuma Guna 3 Bahan Saja
Kerja membersihkan rumah terutama di dapur memang tak pernah sudah. Tapi kalau nak mudahkan kerja membersih dan juga jimat boleh cuba homemade semburan perkongsian dari Yatie Eimra.
Dia menggunakan semburan ini untuk bersihkan macam-macam perkara di rumah. Antaranya bersih kesan minyak, hilangkan bau hanyir, cuci kain lap dapur, bersih cerek berkarat, malah boleh juga untuk halau semut. Hebat kan!
Bahan yang digunakan pun senang dicari, jadi tak perlu beli pelbagai produk pembersih.
Spray serbaguna (homemade)
Bahan yang digunakan:
- ¼ cawan cuka putih
- 1¼ cawan air paip
- 1-2 sudu makan sabun pencuci pinggan
- Essential oil/ kulit kayu manis- jika tak mahu ada bau masam
Cara membuat:
Campurkan semua bahan, masuk dalam botol spray. Sedia digunakan.
Kegunaan
1. Hilangkan bau hanyir
Biasanya lepas bersihkan ayam & siang ikan, saya akan spray pisau, papan pemotong & singki dengan spray ini untuk hilangkan bau hanyir (ikan terutamanya). Biarkan 5-10 minit sebelum cuci macam biasa
2. Mudah tanggalkan kesan minyak
Bila basuh bekas makanan yang berminyak penutup yang paling leceh sekali nak dibersihkan.. Selalunya saya spray je & biarkan sekejap sementara nak basuh.
3. Masa baking
Jika mahu’membaking, nak buat meringue atau pukul whip cream, mixer & bekas mesti kering dan tak berminyak. Kalau tak, alamatnya tak menjadi. Boleh spray pada mixer & bekas sebelum direndam kejap dengan air panas untuk pastikan semua kesan lemak & minyak tanggal. Basuh & keringkan sebelum guna. Saya juga gunakan cara yang sama untuk basuh perkakas baking lepas guna. Sangat menjimatkan masa & menjimatkan sabun
4. Bersih kain lap dapur
Spray & rendam kain lap tangan, kain lap dapur & span basuh pinggan untuk tanggalkan kesan minyak. Sesetengah orang terus masukkan kain yang berminyak dalam mesin basuh. Sebenarnya kesan minyak akan buat drum mesin basuh cepat kotor (kotoran melekit, melekat dicelah getah pintu & juga mendap dalam lubang drum).
Untuk span basuh pinggan pun, biasanya bila malam saya akan spray larutan cuka ni & rendam air panas dalam 10 minit. Kemudian tos kering untuk elakkan span mudah berbau & jadi tempat pembiakan bakteria.
5. Bersihkan blender & tanggalkan karat pada mata blender
Yang suka buat kek guna blender elok sangatlah guna spray ni untuk bersihkan blender. Saya pernah beli kek choc homemade yang rasa pedas cili.. Terus tertutup selera nak makan. Saya guna spray ni untuk kurangkan bau (bawang contohnya), pijar cili & boleh bersihkan mata blender gak. Tapi kena rendam kejap la. Jangan terus basuh lak..
6. Bersihkan karat/mendapan dalam cerek elektrik
Untuk bersihkan karat/mendapan dalam cerek elektrik, gunakan bancuhan spray ni dalam 1-2 cawan, kemudian tambah air paip sehingga cerek ½ penuh je (jangan letak banyak sebab bila mendidih air akan melimpah). Biarkan suam sebelum bersihkan. Kalau banyak sangat karat/mendapan, perlu ulang beberapa kali.
7. Semburan ini juga berguna untuk halau semut daripada menjalar di atas dapur
Cuma sembur saja di bahagian yang selalu ada semut. Selamat untuk digunakan kalau di rumah ada anak kecil. Tak perlu lah guna bahan kimia.
TIP: Jika nak buat dalam kuantiti banyak
Saya buat spray ni dalam kuantiti yang banyak sebab memang selalu guna. Kalau nak buat dalam kuantiti banyak macam saya ni boleh guna sukatan ni..
1½ cawan cuka
7½ cawan air
4-6 sudu sabun pencuci pinggan (kurangkan jika pencuci pinggan pekat).
Sumber: Yatie Eimra
Kalau Anak Hilang Di Tempat Awam, Jangan Jerit Nama Tapi Buat Cara Ini
Kejadian anak hilang di kompleks membeli belah atau pasar raya memang biasa terjadi. Walau dah berhati-hati tapi sekelip mata anak kecil tiba-tiba hilang dari pandangan kita.
Pernah berlaku pada ibu bapa lain, ia juga boleh berlaku kepada kita yang punya anak kecil.
Oleh itu selain ambil pengajaran kita juga patut tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya kejadian anak hilang berlaku. Perkara ini dikongsi oleh bekas peguam Reina Lum.
Jika anak hilang, jangan jerit nama !
Mengambil pengajaran daripada kisah tular seorang bapa mencari anak yang hilang di hipermarket ujar Reina daripada menjerit anak yang hilang ini yang perlu dilakukan.
“Anak hilang jerit nama anak, jangan buat macam tu!
“Apa yang perlu dilakukan adalah melaungkan gambaran atau description anak. Pedulikan kata kata orang.
“Anak kita hilang dan fokus kita adalah nak cari anak. Lebih banyak mata yang mencari anak lebih kurang risiko untuk anak dibawa keluar dari premis.
“Kalau kita jerit gambaran anak, saya mencari budak lelaki pakai baju putih seluar jeans, kasut hijau.
“Semua akan mencari anak ini berdasarkan gambaran. Kalau penculik ambil besar kemungkinan mereka akan lepaskan kerana semua mata sedang mencari mereka.
@reinalum This child was found, thank god. But please share this #parentingtips #lostchild #anakhilang #fypmalaysia #tiktokmalaysia #viralmalaysia ♬ original sound – Reina Lum
Semoga bermanfaat
Kalau Ada Pokok Degil Tak Mahu Berbuah, Cuba Buat Teknik Kelaran. Hasilnya Memang Lebat
Jika di halaman rumah kita ada menanam pokok buah-buahan tapi setelah sekian tak juga berbuah mungkin sudah sampai masa anda buat teknik kelaran seperti yang dikongsi oleh Abdul Hamid Ahmad ini.
Daripada merungut depan pokok, sebaik ambil parang dan buat teknik kelaran ini. Buat dengan penuh perasan ya, hasilnya memang buah keluar lebat.
Teknik inilah juga yang digunakan oleh pekebun untuk memaksa pokok berbuah.
Teknik kelaran atau girdling
Sebelum ini saya ada menyebut teknik kelaran (atau girdling technique) yang telah saya buat pada pokok tin dan pokok mangga.
Beberapa sahabat serta tuan admin Izham Alias mencadangkan dibuat pautan kepada maklumat ini. Maka dikesempatan ini saya tuliskan sebuah nota ringkas yang menerangkan sedikit-sebanyak tentang teknik ini.
Teknik girdling diamalkan oleh penanam pokok buah-buahan, baik untuk kegunaan sendiri atau di ladang. Ada dua tujuan teknik ini dilakukan:
a) Untuk mendapatkan buah yang banyak pada sesuatu musim, dan untuk menjadikan buah lebih besar dan lebih perisa.
b) Untuk memaksa pokok berbuah.
Ramai yang merungut pokok yang ditanam sehingga kini tak berbuah. Maka mahu ditakik dan ditabur garam. Ada yang cadangkan bakar pangkalnya. Disuruh bercakap dan berunding dengan pokok. Malah ada yang suruh ikatkan selipar buruk.
Paling dahsyat, disuruh sarungkan coli pada pokok durian! Apa sahajalah, asalkan bahagia. Jika tak dapat buah, dapat lucunya.
Apa kata buat teknik kelaran?
Teori
Tumbuhan membentuk makanan (dalam bentuk karbohidrat, atau disebut juga “gula”) melalui fotosistesis di daun. Kemudian gula ini disebarkan ke seluruh pokok, tetapi akhirnya dihantar ke akar untuk tujuan simpanan. Jalan penghantaran bahan gula ini adalah melalui tisu floem yang banyak terdapat pada kulit.
Pokok yang lambat berbuah itu terus-terus sahaja menyimpan gula ini di akar. Ini kita tak mahu. Kita mahu dia simpan di dahan-dahan dan apabila cukup bekalan, cepat-cepat membentuk bunga dan buah.
Jika itu yang kita mahu, maka lakukan sesuatu supaya gula itu tidak dihantar ke akar.
Bagaimana? Potong jalan penghantaran itu. Iaitu dengan membuat kelaran pada kulit.
Kelaran boleh dibuat pada:
a) pangkal dahan-dahan utama
b) sekeliling paksi pokok.
Cara membuat kelaran
- Senang sahaja. Kelar.
- Potong kulit sehingga menyentuh tisu kayu. Sentuh saja. Jangan potong kayu itu. Buat potongan pertama. Kemudian potongan kedua. Lebar kelaran ini hendaklah tidak lebih daripada 5mm. Jika pokok kecil seperti pokok tin, 2mm cukuplah.
- Potonglah menggunakan pisau yang tajam. Jika pokok ini subur, selepas dua potongan dibuat, tinggal siat sahaja. Kulitpun tanggal. Lihat gambar.
- Selepas kelar, terpulanglah. Boleh dibalut dengan plastik cantuman. Boleh cat. Boleh biarkan sahaja.
- Maka selepas beberapa minggu, seharusnya pokok mula mengeluarkan bunga dan seterusnya berbuah. Selepas dua bulan, kelaran tadi sudah bercantum semula. Sebab itu jangan kelar lebar. Nanti pokok mati. Tinggal bacakan talkin sahajalah.
- Jika kelaran ini bertujuan untuk membesarkan dan memaniskan buah, kelarlah selepas bunga kembang. Jangan lewat. Jangan terlalu awal.
- Jika kelaran bertujuan untuk memaksa pokok berbuah, buatlah bila anda geram dan marah-marah.
Kaedah
Saya tunjukkan gambar sebenar girdling pada dahan mangga Honey Dew yang saya buat. Kelaran boleh dibuat dengan dua cara iaitu dengan bersambung atau bertindih.
a) Bersambung jika anda dapat buat potongan dengan lurus. Jika mahu buat begini, tandakan dengan pensel atau pen. Baru potong dengan pisau.
b) Bertindih. Hujung tidak bertemu tetapi MESTI bertindih.
Kalau tak bertemu? Kalau tak bertindih?
Kalau tak ikut teknik dan nasihat cikgu, tak menjadilah.
Selamat mencuba.
Sumber: Abdul Hamid Ahmad